Rabu, 18 Mei 2011
Bila Negara Islam Pada Nama, Tidak Syumul Pada Pengamalan???
18 Mei, 11 3:21pm
Seorang hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini melahirkan kekesalannya apabila melihat banyak kes dadah di negara ini melibatkan orang muda berketurunan Melayu dan beragama Islam.
Hakim Datuk Abd Rahim Uda berkata orang Melayu telah dididik sejak kecil bahawa dadah itu adalah haram kerana ia seperti perbuatan membunuh diri yang sememangnya tidak dibenarkan dalam agama Islam.
"Masalahnya kita orang Islam tetapi tidak menghayati apa erti Islam sebenarnya. Islam menekankan bahawa yang utama ialah ilmu dan apabila ilmu tiada kita main-mainkan hukum agama.
"Doa kami agar awak ambil (hukuman) ini sebagai lembaran baru dan jalani kehidupan kamu mengikut undang-undang Allah dan bukan mengikut nafsu. Apa pun hukum dunia kita kena jalankan juga dan harap awak benar-benar insaf serta bertaubat nasuha," katanya.
Abd Rahim berkata demikian ketika menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan ke atas tukang kebun Fazizol Mohd Razali, 25, selepas dia mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan memiliki ganja seberat 216 gram di tempat letak kenderaan, Flat Seri Sementa, Kapar, Klang dekat sini, kira-kira 10.45 malam pada 21 Februari 2009.
Fazizol didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39A (2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sekurang-kurangnya 10 kali sebatan.
Tertuduh sebelum ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan asal mengedar mengikut Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Fazizol bagaimanapun menukar pengakuannya selepas pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan.
Dalam prosiding yang sama, Abd Rahim melepaskan tanpa membebaskan rakan tertuduh, Mohd Zuhaili Husen, 30, daripada tuduhan yang sama.
Sejurus mahkamah membuat keputusan itu, Mohd Zuhaili yang berdiri di kandang tertuduh terus menangis dan memeluk Fazizol.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Khairul Fikrie Ahmad Zubaidi sementara Fazizol diwakili peguam Azizzul Shariman Mat Yusof dan Mohd Zuhaili diwakili peguam Suzanawati Ismail.
- Bernama
P'raya S'pura Satu Peringatan Buat BN???
17 Mei, 11 2:51pm
Walaupun kemenangan lebih dua pertiga yang diperoleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada pilihan raya umum Singapura baru-baru ini memberi mandat kepada parti itu untuk terus memerintah bagi tempoh lebih kurang lima tahun akan datang, namun keputusan itu juga mendedahkan beberapa hakikat menarik, termasuk undi popular PAP telah merosot dan pembangkang mencatat beberapa kejayaan penting.
Beberapa faktor yang menyumbang kepada keadaan itu mungkin boleh dijadikan renungan serta iktibar oleh parti politik di Malaysia.
Hakikat paling ketara ialah kejayaan pembangkang memanfaatkan perasaan tidak puas hati sebilangan besar anggota "kelas bawahan" terhadap PAP, walaupun parti itu berjaya menjadikan Singapura sebuah negara yang makmur, bersih, mematuhi undang-undang dan selesa untuk didiami.
PAP dianggap "bongkak" apabila ia tidak lagi prihatin terhadap sungutan golongan kurang berada, termasuk berkaitan kenaikan harga, khususnya kenaikan harga rumah dan ini menyebabkan ramai pengundi tidak memilihnya.
Rumah pangsa Lembaga Pembangunan Perumahan yang sebelum ini dijual pada harga S$80,000 (RM193,600) seunit, kini dijual pada harga S$400,000 (RM968,000).
Ramai rakyat Singapura dikatakan terpaksa bekerja lebih masa untuk menambah pendapatan bagi menampung kenaikan kos sara hidup.
Kemasukan ramai pendatang secara mendadak juga merupakan satu lagi perkara yang menimbulkan kemarahan pengundi. Kebanyakan syarikat lebih suka menggunakan khidmat pekerja asing kerana upah mereka lebih rendah daripada pekerja tempatan, di samping amalan sistem kontrak yang tidak menuntut tanggungjawab sosial yang tinggi.
Pengaliran masuk secara beramai-ramai pekerja luar ini menjadikan rakyat asing kini berjumlah satu perempat daripada lima juta penduduk Singapura.
Berikutan peningkatan kos sara hidup, penurunan kuasa membeli domestik dan pelebaran jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin, maka tidak hairanlah ramai rakyat Singapura kecewa dengan cara PAP mentadbir negara itu dalam tempoh beberapa tahun lepas.
Beberapa penganalisis politik berpendapat jika tidak kerana kebijaksanaan Perdana Menteri Lee Hsien Loong serta sikap merendah diri beliau ketika berkempen, termasuk kesediaannya memohon maaf atas beberapa kesilapan PAP, Pembangkang mungkin meraih jumlah undi yang lebih besar.
Dr Ooi Kee Beng, Felo Kanan di Institut Kajian Asia Tenggara berkata Hsien Loong telah bertindak bijak apabila beliau mengambil langkah untuk mengawal kerosakan setelah PAP terkedu dengan langkah pembangkang pada peringkat awal berkempen.
PAP kemudiannya mengubah rentak dengan mengamalkan pendekatan lembut berbanding pendekatan tegas sebelumnya setelah menyedari bahawa rakyat akan menggunakan "status quo untuk membuat perubahan, bukan untuk mengubah status quo", katanya.
Mungkin, golongan yang terjejas oleh beberapa keputusan kerajaan sebelum ini tiada pilihan selain terpaksa menanggung saja akibatnya, tetapi mereka tidak mahu anak cucu mereka menderita pada masa akan datang dan sebab itulah mereka mengundi Parti Pekerja (WP) dengan harapan nasib anak cucu mereka akan terbela.
Penganalisis politik Ong Kian Ming pula berkata isu yang dihadapi rakyat Singapura agak berbeza dengan di Malaysia apabila semakin ramai generasi mudanya menjadi pengundi.
"Saya rasa rakyat Singapura menumpukan perhatian terhadap Malaysia selepas negara jiran mereka itu mengadakan pilihan raya umumnya pada Mac 2008. Anda dapat melihat betapa pembangkang menjadi lebih kuat dan saya berpendapat rakyat Singapura mendapat ilham dari sana (Malaysia)," katanya.
Ong berkata walaupun kelihatan seolah-oleh wujud persamaan dalam sesetengah isu seperti kenaikan harga rumah, tetapi kerajaan Malaysia telah menangani perkara itu melalui skim "Rumah Pertamaku" untuk pekerja sektor swasta berusia 18 hingga 35 tahun yang berpendapatan lebih RM3,000 sebulan.
Bakal pembeli boleh mendapat hingga 100 peratus pembiayaan untuk dibayar balik hingga selama 30 tahun bagi rumah berharga antara RM100,000 dan RM220,000 di bawah skim itu yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib berbuat demikian setelah mengambil kira sungutan rakyat selepas pilihan raya umum pada Mac 2008.
Beberapa pemerhati politik pula berkata WP mencatat prestasi lebih baik berbanding parti pembangkang lain kerana ia begitu "rapat dengan kelas bawahan dalam masyarakat".
WP bukan saja mampu mempertahankan Kawasan Anggota Tunggal (SMC) Hougang, malah membuat kejutan di Kawasan Perwakilan Berkumpulan (GRC) Al-Junied dengan mengalahkan pasukan PAP yang diterajui Menteri Luar George Yeo.
Bagaimanapun, setiausaha agung WP Low Thia Khiang berkata beliau percaya kejayaan parti itu lebih berpunca daripada pendekatannya yang bersifat "sebuah parti Pembangkang yang rasional, bertanggungjawab dan berwibawa".
Low dilaporkan berkata WP tidak menentang semata-mata kerana mahu menentang dan ia juga "tidak suka berlebih-lebihan untuk menunjukkan kepada orang ramai bahawa ia perlu mengamalkan sikap berkonfrontasi, semata-mata kerana ia sebuah parti pembangkang".
WP juga mencatat prestasi lebih baik berbanding parti Pembangkang lain kerana calonnya terus memberi khidmat dan "tidak terus hilang, tetapi tetap menampakkan kehadiran mereka di kawasan masing-masing, walaupun kalah dalam pilihan raya 2006.
- Bernama
Selasa, 17 Mei 2011
Guru Pelopor Sebuah Generasi,Keberanian Guru Melahirkan Generasi Hiwariyyin...
Guru diseru berjuang bersama Pakatan Rakyat
Written by Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 16 Mei: Muslimat PAS Pusat menyeru guru-guru yang menghadapi tekanan pemerintah supaya meneruskan perjuangan bersama PAS dan Pakatan Rakyat.
Sehubungan itu, Ketua Penerangannya, Salbiah Abd Wahab berkata, pihaknya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Guru 2011.
“Kepada semua yang bergelar pendidik yang terdiri daripada guru-guru di sektor awam dan swasta di semua peringkat persekolahan, Pasti, tadika, sekolah rendah dan menengah, institusi tinggi, kakitangan pejabat-pejabat pendidikan dan Kementerian Pelajaran Malaysia serta semua yang terlibat dengan profession perguruan,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Katanya, golongan pendidik adalah merupakan golongan perkhidmatan awam yang terbesar di negara ini yang dianggarkan seramai 520,000 orang termasuk pegawai pendidikan dan pentadbir.
Tambahnya, guru-guru berada di seluruh pelosok negara dan menjadi nadi yang menghidupkan ekonomi setempat dan pembangunan modal insan.
Menurutnya, mereka tekad menjalankan tugas rasmi dan tidak rasmi profesyen perguruan tanpa mengira dan mengenal penat-lelah.
“Mereka jugalah yang diamanahkan untuk mempersiapkan dan menyediakan generasi pemimpin pelapis, yang berkebolehan dan berkeupayaan menyumbang tenaga dan bakti untuk kesejahteraan ummah dan ekonomi negara di masa hadapan negara,” ujarnya.
Oleh itu, tambahnya guru-guru mesti bersifat cekal dan anjal serta istiqamah dan bertaqwa kerana proses pendidikan sambung-menyambung dalam dunia yang semakin mencabar.
“Didiklah anak-bangsa tanpa mengira ras keturunan, insya Allah pengorbanan dan khidmat bakti anda akan membuahkan hasil apabila Pakatan Rakyat mengambil teraju kepimpinan negara di dalam PRU13 akan datang,” katanya.
Beliau berkata, PAS dan Pakatan Rakyat komited akan menawarkan kepada guru-guru elaun khas perguruan sebanyak RM500 seorang untuk mengangkat martabat perguruan dan seterusnya menarik lebih ramai cerdik-pandai menyertai profesyen perguruan.
Katanya, dengan tema Hari Guru 2011 tahun ini, ‘Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara’, Dewan Muslimat berharap ia bukan transformasi retorik pemerintah BN Umno.
“PAS dan Pakatan Rakyat akan mempastikan ia benar-benar transformasi pendidikan ke arah kesejahteraan, keunggulan dan kecemerlangan ummah dan negara dunia dan akhirat,” ujarnya.
Isnin, 16 Mei 2011
Pemansuhan Kutipan Tol Di Lebuhraya Metramac Serta Merta,Adakah Gula-Gula Kerajaan Hendak Menaikkan Petrol Ron 95???
KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Kerajaan memansuhkan kutipan tol di Plaza Tol arah Cheras dan Plaza Tol arah Petaling Jaya, Lebuhraya Hubungan Timur-Barat (Metramac) berkuatkuasa serta-merta.
Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor berkata pemansuhan tol itu dilaksanakan tujuh tahun lebih awal daripada tarikh sebenar dalam perjanjian konsesi yang akan tamat pada 31 Mei 2018.
Katanya, penutupan plaza tol itu dapat memberi faedah kepada lebih 100,000 pengguna lebuh raya sehari terutamanya bagi penduduk Bandar Permaisuri, Bandar Tun Razak dan kawasan sekitarnya.
"Dengan pemansuhan kutipan tol ini, dianggarkan sebanyak RM180 juta tidak akan dipungut sepanjang tempoh baki konsesi manakala kerajaan juga tidak perlu membayar sebarang pampasan atas persetujuan penutupan awal tol tersebut," katanya pada majlis pemansuhan kutipan tol tersebut di sini malam Isnin.
Lebuhraya Metramac sepanjang 6.5 kilometer yang menghubungkan Persilangan Salak dan Persilangan Taman Connaught mula dibuka pada 1 Ogos 1995 dengan kos pembinaan RM125 juta. Kadar tol yang dikenakan di kedua-dua plaza tol tersebut adalah RM0.50 (kelas 1), RM1 (kelas 2 dan 3), RM0.30 (kelas 4) dan RM0.50 (kelas 5).
Pada 28 Jan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kutipan tol di plaza tol berkenaan akan ditamatkan lebih awal berbanding tempoh konsesinya yang berakhir pada 2018.
Shaziman berkata langkah Kerajaan itu adalah kesungguhan kerajaan untuk mencari penyelesaian berhemah bagi pengguna berhubung isu tol.
"Hasrat kerajaan ini telah pun mula direalisasikan menerusi keputusan kerajaan menamatkan keputusan kutipan tol di beberapa lebuh raya sejak 1993 lagi.
"Antaranya ialah pemansuhan tol di Plaza Tol Slim River, Lebuhraya Slim River Tanjung Malim pada 11 Jan 1993 dan pemansuhan tol di Plaza Tol Jalan Kuching pada 8 Jan 2003," katanya.
Pokok Takkan Bergoyang,Kalau Takda Angin Yang Bertiup???
16 Mei, 11 4:13pm
Sebagai sebahagian daripada perutusan Hari Wesak yang dikeluarkan hari ini, MCA hari ini mengingatkan bahawa "kekacuan" akan berlaku sekiranya puak ekstremis dibiarkan terus menyemai kebencian kaum dan agama.
Presidennya, Datuk Dr Chua Soi Lek berkata tidak ada tempat bagi golongan ini yang menurutnya menjadi penghasut dan anasir perosak yang mahu mencetuskan huru-hara dan menyemai kebencian di kalangan rakyat Malaysia.
Katanya, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang kacau-bilau jika tahap toleransi rakyatnya berhubung isu-isu yang menjadi perbalahan dimainkan di luar kontek kemanfaatan politik.
Chua berkata, rakyat Malaysia tidak harus terperangkap dengan mereka yang menggunakan isu-isu agama atau perkauman untuk kepentingan politik diri sendiri kerana ia merupakan "satu resipi untuk malapetaka".
"Kesederhanaan politik mesti didukung dan ditekankan. Tiada tempat untuk fanatik keagamaan di negara ini," katanya.
Kini wujud rasa tidak puas hati berhubung laporan muka depan Utusan Malaysia pada 7 Mei lalu yang melaporkan dakwaan dua blog pro-Umno bahawa terdapat rancangan untuk menjadi Kristian agama rasmi oleh sekumpulan pastor dan DAP.
Kumpulan gereja dan DAP telah menafikan dakwaan itu.
Chua berkata, rakyat Malaysia perlu menggunakan sambutan Hari Wesak untuk mengukuhkan lagi komitmen untuk keamanan.
Sabtu, 14 Mei 2011
Bila Yang Susah Tertindas, Yang Senang Bermaha Raja Lela...Pemimpin Apakah Itu???
Menurut Pusat Maklumat Hartanah Negara (Napic), harga purata hartanah kediaman di Malaysia naik kira-kira 12 peratus dalam 2010 kepada RM220,000 berbanding dengan tahun sebelumnya.
Rumah di Lembah Klang sahaja berharga RM100,000 lebih tinggi daripada tahun 2009. Syarikat perunding antarabangsa Robert Walters mendapati selain kadar gaji tidak berubah, kadar bayaran bonus pada 2010 juga lebih rendah daripada 2009.
Dalam 2009, golongan profesional dengan pengalaman kerja kurang daripada lima tahun, boleh menjana pendapatan di bawah purata RM5,000 sebulan, bergantung kepada industri terbabit.
Dan berikutan itu wujud generasi rakyat Malaysia - walaupun menerima lebih pendidikan, latihan dan peluang daripada senior mereka - tetapi mereka membawa pulang gaji yang tidak mencukupi untuk memboleh mereka membeli hartanah.Manakala kenaikan harga hartanah dalam 2010 menyaksikan satu lonjakan yang besar, tetapi data Napic mencatatkan kenaikan harganya sejak 2000, dengan purata harga rumah ialah kira-kira 40 peratus lebih rendah di seluruh negara.
Pembelian spekulatif penggerak kenaikan harga
Menurut pegawai Persatuan Pembeli Rumah Negara (NHBA), Tan Chong Leng, kenaikan harga hartanah kediaman berpunca daripada pembelian spekulatif.
"Bila kerajaan melonggarkan cukai keuntungan harta (RPGT) ekoran krisis ekonomi, ia mencetuskan aktiviti spekulatif yang meningkatkan harga menjadi semakin lebih tinggi," kata Tan.
RPGT sebelum 2007 adalah 30 peratus untuk mereka yang menjual hartanah mereka dalam tempoh setahun pembelian.
Ia diperkenalkan semula sebanyak lima peratus pada pertengahan 2009, tetapi hanya untuk penjualan dalam tempoh lima tahun pembelian, selepas menerima bantahan daripada industri hartanah.
Tan, yang bertanggungjawab ke atas unit Cina NHBA, berkata kerajaan sepatutnya mengkaji mengenakan RPGT secara progresif, dengan kadarnya bertambah dengan jumlah hartanah yang dibelikan.
Bank Negara juga turut mengehadkan pembeli hartanah ketiga, kepada 70 peratus pinjaman untuk nisbah nilai untuk menyekat spekulasi - tetapi menurut persatuan pengguna kadar itu harus diturunkan lagi.
Hishamuddin,Slow je.Ada Udang Di Sebalik Mie Ke???

Hishammuddin berkata kenyataannya itu berdasarkan bukti baru dalam sebuah laporan polis yang dibuat di Pulau Pinang hari ini.
Semalam, kementeriannya mengeluarkan surat teguran kepada Utusanberhubung laporan tajuk utama pada 7 Mei lalu yang berjudul 'Kristian Agama Rasmi?'Surat berkenaan diserahkan kepada ketua pengarang kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak semalam apabila beliau diarahkan ke Kementerian Dalam Negeri bagi menjelaskan laporan akhbarnya itu.
Hishammuddin berkata penjelasan Aziz adalah sama dengan laporan polis yang dibuat hari ini.
"Beliau (Aziz) berkata terdapat kebenaran mengenai apa yang dilaporkan dan hari ini saya dimaklumkan bahawa ada laporan polis (yang dibuat) yang menunjukkan ada asas (dalam laporan Utusan),” kata Hishammuddin kepada wartawan selepas melancarkan pusat pemulihan dadah di Chow Kit, Kuala Lumpur.
Tidak beremosi
Hishammuddin juga menasihatkan semua pihak termasuk media supaya tidak beremosi dengan menimbulkan pelbagai spekulasi berhubung laporan Utusan Malaysia itu.
Katanya, polis juga telah diarahkan menyiasat perkara itu bagi mengetahui kebenaran laporan akhbar berkenaan.
"Jangan kita beremosi dalam isu-isu berhubung agama dan kaum, biar pihak-pihak yang berkenaan khususnya polis menjalankan tugas mereka untuk siasatan mengenai kes ini bagi kita mencari kebenarannya.
"Kalau kita ambil tindakan mengikut emosi dan kita mengikut sentimen rakyat di bawah tapi kita tak tahu apa sebenarnya berlaku, akan ada pelbagai andaian yang timbul," katanya.
Hishammuddin turut meminta semua akhbar termasuk akhbar berbahasa Cina dan Tamil memainkan peranan untuk membantu negara dengan menceritakan semangat-semangat yang membina dalam isu perkauman dan agama.
"Saya tahu mungkin cerita ini tidak sensasi dan akhbar tak boleh jual, tapi kalau asyik cerita pasal perpecahan, negara kita boleh jadi huru-hara," katanya.
Ketika ditanya mengenai laporan MCA hari ini yang meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan KDN yang hanya mengeluarkan surat teguran terhadap akhbarUtusan Malaysia itu, Hishammuddin berkata itu bukan satu isu, apa yang penting, perkara itu diserahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan terlebih dahulu.
"KDN akan terus memantau setiap akhbar yang dikeluarkan supaya tidak menyebarkan berita-berita yang boleh menggemparkan fikiran orang ramai," katanya.