Sabtu, 28 November 2015

AKAL & DOWNLOAD



بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة السلام على محمد وعلى اله وصحبه أجمعين 

Alhamdulillah, syukur kepada Allah swt yang telah mendatangkan 1001 macam peringatan sebagai tanda kasihNya pada kita.

Salawat dan salam buat Nabi akhir zaman yg tidak putus asa dalam berusaha menyampaikan peringatan atas dasar kasih dan sayangnya pada umatnya.

Sambil menunggu giliran masa berlepas yang jauh lagi. Tertarik melihat fashion tudung yang dipakai oleh kaum hawa. Berbagai rupa dan bentuk warna dan rupa.

Kini tudung bukan hanya tuntutan syariah menutup aurat tetapi fashion yang menjadi tuntutan masyarakat.

Segalanya apabila diukur sesuatu itu dengan akal dan kehendak semata-mata.

Akal merupakan kurnia agung yang diberikan Allâh Azza wa Jalla kepada bani Adam. Ia adalah pembeza antara manusia dengan haiwan, dengannya mereka dapat terus berinovasi dan membangun peradaban, dan dengannya mereka dapat membezakan mana yang bermanfaat dan mana yang berbahaya sesuai jangkauan akal mereka.

Dalam masa yang sama Allah swt menjadikan syariah sebagai batas dan garis panduan agar akal dapat dipandu dengan jalan yang betul serta membantu menghurai sesuatu yang berada diluar jangkauan akal.

Disitu juga Allah swt menunjukkan kepada kita bahawa keterbatasan akal itu sebagai tanda Maha Agungnya Allah swt dalam masa yang sama lemahnya kita sebagai makhlukNya.

Bahkan lebih-lebih lagi dengan kehadiran syariah, tika mana bertentangan dengan kehendak akal maka disitulah Allah swt ingin melihat sejauhmana ketaatan kita kepada perintah dan ketetapanNya.

Kaum Nabi Allah Nuh a.s diuji dengan syariah ketetapan Allah swt yang bercanggah kehendak akal umatnya apabila diperintahkan Nabi Nuh membina bahtera, bukan ditepi pantai atau laut yang sepatut tetapi lebih tidak diterima akal lagi diperintah buat dikemuncak bukit.

Akhirnya yang beriman hanya dalam lingkungan 100 orang.

Setiap lapisan umat para rasul pasti ada golongan yang tidak menerima syariah yang dibawa atas dasar akal yang tidak dapat menerimanya.

Ianya berlaku sehinggalah hari ini, golongan yang mengukur setiap sesuatu itu dengan akal semata-mata.

Tidak menerima syariah Allah swt yang termaktub didalam alQuran, diambil dan ditolak semahunya mengikut akal.

Berjuang menegakkan Islam katanya tapi nama Islam itu sendiri jangan disebut dan diguna pakai, takut hilang sokongan.

Itu sebabnya syariah Allah swt ini tidak boleh di ukur dengan akal semata-mata tetapi memerlukan sifat taat dan taabud kehambaan kepada Allah swt.

Maka ketika itu akal perlu di download dengan ilmu yang berteras AlQuran dan Sunnah Nabi saw sehingga lahir sifat kehambaan.

Ketika itu barulah kita dapati akal dengan baik berfungsi diatas syariat yang telah ditetapkan oleh Allah swt.

"Tuntutlah Ilmu Sampai Mati"

WAllahu a'alam


AbuJihad
28 Nov 2015
Airport Kota Bharu

Jumaat, 27 November 2015

ULAMAK POWERBANK


بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة السلام على محمد وعلى اله وصحبه أجمعين 

Alhamdulillah syukur pada Allah swt yg telah mengizinkan segalanya itu berlaku dengan rahmatNya.

Selawat dan salam buat junjungan alam Rasulullah saw sebagai payung rahmat yg telah meninggalkan ulamak sebagai lidah penerus buat ummatNya.

Alhamdulillah, ketibaan pagi tadi di airport Kota Baharu disambut dengan renjisan hujan yg menunjukkan sebanyak tak terkira bahkan lebih jauh lagi rahmat Allah swt dalam mentadbir makhlukNya.

Program bersama ulamak pada hari ini di MADU, Machang Kelantan bukan sahaja satu tuntutan dari jemaah didalam slot-slot secara formal tetapi rupanya bermula dari permulaan menemui mereka tika sampai ditempat program telah banyak ilmu dan pengetahuan yg ditimba.

Senyuman, sapaan mereka sehingga perbualan mereka dikala santapan pasti ada denyutan kekuatan akan didapati, mungkin itulah yg dikatakan ulamak pewaris Nabi saw.

Betapa besar dan penting kebersamaan kita bersama mereka, menjadikan mereka sebagai idola contoh sehingga menjadikan mereka sebagai tempat rujukan setiap langkah kehidupan yg dilalui.

Jangan hanya sekadar menjadikan mereka pada sebahagian tempat dan tidak sebahagian tempat yang lain.

Jangan hanya jadikan mereka tempat kita meminta mengisi program masjid dan surau, tahlil arwah dan solat jenazah, tahniq anak cucu.

Jika lidah penerus Nabi saw itu hanya sekadar apa yang disebut tadi pasti Nabi saw itu hanya duduk di Makkah dan pasti tidak dikecam sehingga hendak dibunuh oleh musyrikin Makkah.

Rasulullah saw telah menunjukkan satu model islam dan tugasan pewaris Rasulullah saw 13 tahun berada di Makkah sehingga hijrahnya Rasulullah saw ke Yasrib dan tertegak sebuah negara Islam yg pertama Madinatul Munawwarah selama 10 tahun.

Allah swt telah mengajar kita melalui sejarah yg berlaku kepada ummat-ummat terdahulu, dari ummat Nabi Allah Idris a.s, sepeninggalan Nabi Musa a.s selama 40 hari menemui Allah swt di jabal Tursina sehingga masyarakat jahiliah yang hidup setelah ketiadaan Nabi Allah Isa a.s sehingga kebangkitan Rasulullah saw.

Tidak kebersamaan ummat mereka mengimani para Rasul-Rasul sehinggalah mereka yang hidup didalam jarak masa yang tidak mempunyai Nabi dan Rasul. Semuanya ini menampilkan gambaran ummat yang rosak hanyut seperti layang-layang putus tali dan bahtera yang tiada nakhodanya ditengah lautan yang penuh badai besar.

Hari ini Rasulullah saw tidak bersama kita lagi, yang tinggal hanya pewarisnya yang membawa alQuran dan Sunnah Beliau.

Semua kita mempunyai henset. Pentingnya henset bagi kita sehingga kemana sekalipun kita akan membawanya. Sayang kita kepada isteri dan anak-anak pun ada ketika mereka kita tinggalkan.

Menggelupur kita bila bateri henset habis. Segera kita mencari pengecas. Mutakhir ni pula kita menjenjeng satu benda yang namanya POWERBANK.

Mereka inilah seperti powerbank, pengecas agar iman dan aqidah kita sentiasa hidup bersinar sehingga kehidupan kita terarah, amanah Allah swt dapat ditunaikan.

WAllahu a'alam


abujihad
27 Nov 2015
MADU, Machang Kelantan
IBTISAMATUL JUMAAT

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على محمد المرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين .

 Alhamdulillah, syukur pada Allah swt masih diberikan nikmat kesempatan untuk terus hidup memperbaiki dan menambah baik ta'abbud dan hubungan kita pada Allah swt.

Salawat dan salam buat junjungan alam Rasulullah saw yang sentiasa tidak putus berusaha untuk kenalkan ummatNya dengan Allah swt agar terselamat dari neraka dan kembali ke kampung halaman syurga yg abadi.

Melihat mutakhir ini dengan perjalanan kehidupan sekeliling yg terus sebok dengan sesuatu belum pasti.

Ujian bertimpa silih berganti, Allah swt datangkan untuk kita kembali mengingati. Sangat menarik kisah yang ingin dikongsi. Ia terjadi dizaman khalifah yg gagah berdiri, saidina Omar AlKhattab alFaruqi.

Peristiwa pemecatan Khalid ibnu Al Walid r.a dari jawatannya sebagai panglima tertinggi angkatan tentera Islam  dilakukan oleh Khalifah Umar al Khattab r.a.

Pemecatan tersebut adalah satu peristiwa sejarah yang sangat mengkagumkan, peristiwa yang menayangkan keunggulan peribadi pejuang fi sabillah.

Perhitungan rakyat jelata, tentu sahaja pemecatan tersebut merupakan tindakan yang tidak bijaksana.

Rakyat melihat kepahlawanan beliau yang  luar biasa itu merupakan orang yang paling tepat untuk memperluaskan dan meyebarkan Islam ke pelusuk dunia.

Tapi berbeza pula Khalifah Umar al Khattab yang melihat apa yang orang lain tidak mampu melihatnya.

Beliau mengambil tindakan pemecatan tersebut dan bertawakkal kepada Allah dan menuluskan niat untuk mencari keredhaanNya semata.

Apabila arahan pemecatan dikeluarkan oleh Khalifah Umar Al Khattab, Khalid  menerima berita pemecatan tersebut dengan hati yang lapang. Dengan penuh rela diserahkan jawatan penting tersebut  kepada pengganti iaitu  Abu Ubaidah ibnu Al Jarrah r.a.

Pelucutan jawatan tersebut, Khalid menjadi tentera biasa.

Satu ketika selepas pemecatan tersebut yang menimbulkan rasa ketidakpuasan hati tentera Islam yang lain.

Umar berkata, "aku memecat Khalid bukan kerana benci tetapi aku tak mahu orang menyangka kemenangan tentera Islam kerana Khalid menjadi ketua. Aku takut apabila dikatakan kemenangan Islam adalah kerana pemimpinnya, bukan kerana bantuan Allah."

Sebuah peristiwa yang menjadi kisah yang sangat menarik untuk dijadikan pengajaran.

Mungkin sering pengajaran diambil dari pihak Khalid r.a yang tidak rakuskan jawatan dan terus istiqamah dengan perjuangan.

Tetapi kali ini kita cuba melihat pihak Umar al Khattab yang menjaga kepentingan aqidah ummat Islam.

Ibrah dari peristiwa ini, penekanan keimanan sangat dijaga dan dipelihara. Menjaga hak Allah swt supaya tidak dicemari.

Seringkali dilihat pengharapan seorang terhadap makhluk sangat tinggi sehingga melanggar batas-batas hak Allah swt.

Seperti dapat kita lihat contohnya dalam aspek rumahtangga, seorang isteri yang terlalu menyayangi suaminya sehingga dia lupa akan hak Allah swt yang wajib diberikan .

Sehingga ibadah yg sepatutnya diisi dan telus pada Allah swt masih lagi terisi dengan teringatkan suami dan anak-anak, mungkin keperluan mereka yg belum diselesaikan .

Itu akhirnya Allah swt menghantar berbagai peringatan agar mereka kembali beribadah mengingati Allah swt dengan telusnya.

Begitu juga sebaliknya bagi suami yang terlalu memberikan segalanya pada isteri dan anak-anak sehingga lupa batas dan tuntutan Allah swt keatasnya.

Semoga kita bersama dapat melihat dengan baik dimana batas hak yang sepatutnya kita berikan kepada Allah swt terutamanya, dengan tanpa mengabaikan amanah Allah swt pada dua tangan kita iaitu keluarga dan agama serta masyarakat sekeliling kita.

Semoga baik dunia kita, baik juga akhirat kita lebih-lebih lagi.



AbuJihad
Airport Subang
27 Nov 15