Sabtu, 30 Januari 2016

BUAH MEMPELAM BERULAT


الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه أجمعين.
Hari tu semasa aku balik dari membeli barang, terpaku aku melihat buah mempelam yang cukup menarik pandang pertama.

Bila aku menghampirinya, bukan sekadar tarikan rupanya bahkan wangi tubuhnya. Bila ditanya pasti jawapan tuannya ketika itu " manis rasanya ".

Dengan perasaan yang tidak berbelah bagi, suntingan tanpa mengira dua dan tiga. Sekilo dan seharga itulah yang menjadi hantarannya.

Sampai dirumah, belum lain yang aku sapa, dia dulu aku terjah. Kulit licin yang menutup gebu, aku siat sikit demi sedikit agar tidak kurang isinya yang cantik akan ku jamah nanti.

Diketika asyik aku melayan perasaanku, tiba-tiba aku terkejut melihat terjahan seekor ulat yang mundar mandir diisi tengah mempelam aku.

Hancur segala impian dan harapanku sepanjang aku mengenalinya. Kini aku delima.

Adakah perlu aku mengambil keputusan dengan membuang semua simempelam itu atau hanya aku buang tempat ulat bermundar mandir tadi dan memakan isi selebihnya yang masih baik.

Pasti jawapannya dibuang isi yg berulat dan memakan selebih isinya yang masih baik.

Begitulah keadaan kita sebagai manusia lebih-lebih lagi. Jangan disebabkan sedikit rasa tidak puas hati kita pada seseorang itu sehingga segala kebaikannya hilang ditelan zaman.

Jangan sesekali kita dimasuki dalam golongan " dah jatuh ditimpa tangga kemudian terpalit pula tahi ayam".

Mungkin benar ada salah seseorang itu pada kita tetapi disebabkan salah kita dalam menanganinya akhirnya menempah kita akan dosa pula.

Pada awal kesilapan seseorang itu pada kita, mungkin Allah swt mahu melihat keikhlasan, sabar dan tarji' kita kepadaNya.

Tetapi disebabkan sedikit sabar dan tarji'nya kita pada Allah swt akhirnya hilang segala kebaikan yang sepatutnya kita dapati darinya.

Apatah lagi dengan ketidak puasan hati kita, kita menggonjeng lagi melondehkan aibnya di khalayak ramai. Maka bertambah-tambah dosa melipat ganda.

Oleh itu, sabar itu didahulukan, fikir itu disertakan dan kebaikan itu didambakan. Maka pasti nikmat manis dirasai jua akhirnya.

Bagi sipesalah tadi, jika dapat diberi teguran, maka tegurlah dengan penuh hikmah. Pastinya niat tetap mencari redha Allah swt.

InsyaAllah pasti disitu ada kebaikan besar yang menanti untuk dunia dan lebih-lebih lagi akhirat kita.

فمن يعمل مثقال ذرة خيرا يرة
ومن يعمل  مثقال ذرة شرا يرة

WAllahu a'alam


AbuJihad
30Jan2016
StadiumTertutup

Ahad, 24 Januari 2016

Bakso oh Bakso


الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه أجمعين.


Alhamdulillah majlis Yasinan kali ini, menu utama adalah bakso. Kene dengan selera yang masih kuat dengan perjalanan sebulan dua ini berulang alik ke negara asal bakso.

Maka makannya pun seperti pepatah yang mengatakan " sampai mak mertua lalu belakang pun tak sedar ".

Dalam perjalanan balik, perut yang aku gendung berpuluh tahun ni mula merungut.

Pada awalnya aku sangka mungkin gurauan angin sahaja, tapi lama kelamaan semakin kuat tuntutannya sehingga tidak keruan lagi dibuatnya.

Bila diingat-ingat, mungkin bakso yang aku makan tadi tetapi tidak aku salahkan bakso tadi tetapi aku yang makan berlebihan dari sepatutnya.

Sudah sunnatullah alam, tidak mengira apa sekalipun, ubat yang mengubati juga tetapi apabila diambil dari sepatutnya maka ia akan menjadi mudharat.

Begitujua kehidupan, lebih-lebih lagi alam sekeliling kita ini, walaupun pada awalnya Allah swt menjadikan ia untuk keperluan manusia tetapi apabila ia diambil lebih dari keperluan, maka ia akan mengundang kemudharatan.

Contoh seperti duit. Lebih-lebih lagi hari ini segalanya memerlukan duit tetapi bukan duit segala-galanya.

Mungkin satu perkara kita lihat duit segala-galanya, maka kita berusaha mencari dan mengejarnya.

Tidak menjadi kesalahan kita berusaha mencari dan mengejarnya untuk keperluan selagimana batas-batas yang Allah swt telah tetapkan tidak kita langgar.

Tidak salah juga jika ianya tidak sampai kita mengabaikan perkara-perkara awlawiyat didalam kehidupan kita.

Jika tindakkan kita sampai melanggar batas-batas larangan Allah swt, tidak ada lagi haram apatah lagi syubahat ketika itu maka sebaiknya kembali rasa syukur terhadap apa yang ada pada dua tangan kita.

Dari rasa cukup pada dua mata, tetapi hakikat cukup itu tidak membawa kebaikan bahkan kemurkaan Allah swt.

Maka hidup atas dunia ini tidak cukup dengan mengambil sesuatu tindakan itu dengan "rasa" tetapi perlu berpandukan dengan ilmu pengetahuan yang benar asasnya dari ketetapan Allah swt dan sunnah Nabi saw.

Berjalan dengan berhati-hati dan lambat itu lebih baik dari cepat dan hebat tetapi tergopoh gapah akhirnya terlanggar batas yang tak sepatutnya.

Baik kita beringat sebelum Allah swt mengingatkan kita ketika itu. Jangan sampai nasi menjadi bubur.

WAllahu a'alam


AbuJihad
24Dis2016
Seberang Penjara

Isnin, 11 Januari 2016

KAYUHAN BASIKAL AKU


بسم الله الرحمن الرحيم
 الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه أجمعين

Alhamdulillah basikal yang aku impikan selama ini dapat juga aku miliki, walaupun ianya tidak baru tapi sudah mencukupi bagi keperluanku untuk riadhah menyampaikan kehendak tubuhku.

Pagi tu awal lagi aku dah menyeringai dihadapan muka pintu rumahku. Dengan segak kasut sukan dan bertopi seperti pelumba basikal negara.

Aku pun dengan selamba mula menolak basikal aku dan menaikinya dengan berhati-hati serta bacaan basmalah. Biasalah orang dah lama tak naik basikal.

Pergerakkan awal yang agak berat kerana posisi jalan dihadapan rumahku agak meninggi. Kini sampai aku dijalan utama ke Kuala Selangor satu ketika dahulu. Orang kata, tanpa jalan itu siapalah Kuala Selangor.

Kayuhanku semakin laju sehingga satu jalan yang agak tinggi, aku dah mula menggelek pinggulku untuk menguatkan kayuhanku melepasi kawasan tinggi tersebut.

Apabila melepasi kawasan tinggi tadi, satu setiuasi yang paling menyeronokkan bagi sang pengayuh iaitu menyusur laju basikal dengan tanpa kayuhan.

Begitulah posisi keadaan kayuhan aku yang hampir dua jam perjalanan berbasikal dengan pelbagai 1001 suasana jalan yang aku lalui, ada ketika ia menyeronokkan dan adakala ianya juga memeritkan.

Adakala kayuhan aku itu membuatkan aku ketawa bersendirian dan tidak tidak ketinggalan juga ianya memeritkan dan amat berat sehingga membuatkan aku hampir menangis.

Mungkin itulah yang dikatakan kehidupan. Mana kita perlu berhati-hati dalam melaluinya. Ada ketika perit dan susah payah kita dalam mendepaninya tapi hujungnya pasti kemanisan yang menyeronokkan menanti.

" فإن مع العسر يسرا، إن مع العسر يسرا "

Mana mungkin ada kemanisan tanpa adanya sebuah kepahitan. Mungkin itulah sunnatullah didalam kehidupan kita didunia yang sementara ini.

Tanpa kemanisan dan kepahitan didalam sesuatu itu, maka hambarlah ia.

Lebih-lebih lagi kita sebagai seorang yang mengimani keesaan Allah swt. Maka sudah barang pasti kesusahan dan kepayahan yang kita lalui didunia ini, sama ada ia berbentuk susah dalam mendepani larangan-larangan Allah swt sehingga musibah yang didatang oleh Allah swt.

Semuanya itu, pasti pertamanya untuk menambahkan kemanisan keimanan kita mentaati Allah swt. Kemudian dengan rahmat Allah swt mahukan kita merasai maximum nikmat apabila kita kembali ke kampung halaman kita syurga yang kekal abadi.

Sama seperti orang yang dihidang sirap limau ais dalam keadaan dia tidak haus dan duduk di bilik dingin dengan mereka yang dihidangkan air sirap limau ais dalam keadaan dia haus dibawah terikan sengihan sang matahari.

Maka pasti dia cukup merasai nikmat air tersebut dan semakin bersyukur dia kepada sipemberi air itu.

Begitulah keadaan kita manusia, apabila melihat sesuatu itu dengan mata hati ilmu dan iman, maka pahit sesuatu yang kita dapati pasti akhirnya kita redha dan bersyukur kepada Sang Pemberi segalanya kerana mendapati nikmatnya tidak didunia pasti akhirat ia menanti.

Semoga Allah swt sentiasa memberikan mata hati yang baik agar dibuka segala kebaikan disebalik detik kehidupan yang kita lalui, sama ada susah atau senang kayuhan kita tadi.


WAllahu a'alam


AbuJihad
11Jan16
TehKodiRotiMentegaKacang

Selasa, 5 Januari 2016

HARI PERTAMA ANAKKU SEKOLAH



 بسم الله الرحمن الرحيم
 الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا  محمد وعلى اله وصحبه أجمعين 


Alhamdulillah hari ni dah masuk hari kedua persekolahan anak-anak kita atau yang ada tu cucu-cucu bagi tok wan dengan tok ki.

Semalam pelbagai ragam yang dapat kita lihat dari pelbagai peringkat. Yang menangis itu pasti kemudian tidak ketinggalan juga yang duk sebok suruh mak ayah balik.

Macam-macam ragam sehingga dapat kita jadikan satu bahan kelakar bila melihat mereka.

Pelbagai ragam mereka itu tetap tidak akan dapat mampu ditandingkan dengan menggunungnya harapan setiap ibubapa yang menghantar anak-anak ke sekolah.

Harapan ibubapa bukan sekadar kepada anak tapi lebih besar harapan yang diberikan kepada guru yang mengajar.

Demi harapan yang menggunung itu, tidak kurang modal yang dipertaruhkan. Dari persiapan bagi diri anak tadi sehinggalah 1001 macam bayaran disekolah. Dari sekolah kerajaan  sehinggalah sekolah swasta.

Semuanya itu kembali kepada kemampuan masing-masing. Semuanya itu juga kerana nak menyampaikan harapan yang menggunung tadi.

Kekadang di tengah kesebokan kita menyiapkan anak-anak kita dan dibuai harapan yang meninggi tersebut, yang kita nampak pendidikan dan pembelajaran itu hanya ada disekolah.

Kita hanya nampak kejayaan anak kita tersebut bergantung kepada sekolah terutamanya guru yang mengajar.

Mungkin kita tidak ketahui atau kita buat-buat tak tahu bahawa bagaimana keadaan anak tersebut awal-awal pendidikan seseorang anak itu dari rumah bahkan dari dua ibubapanya.

Mungkin disekolah boleh berikan ilmu berbentuk fizikal kepada anak tetapi di sekolah bukan tempat untuk membentuk keperibadian dan jati diri seorang itu.

Seorang yang hebat mempunyai jati diri dan keperibadian yang baik tetap bermula dari rumah dan didikan ibubapanya.

Jika dari rumah ia tidak dibentuk dengan baik, maka anak tersebut ke sekolah dalam keadaan kosong. Lalu ketika itu mudah ia terikut-ikut dengan sesuatu yang tidak sepatutnya.

Maka oleh itu, mulakan pentarbiyahan dan pendidikan  dalam pembentukan jati diri dan kewibawaan seorang anak itu dari rumah dan bermula dari ibubapanya, InsyaAllah disitu ada peratus yang besar untuk membuka jalan kejayaan baginya didunia lebih-lebih lagi diakhirat.

Jadikan anak kita di mana sekalipun dia berada dan dimanapun sekali keadaan lingkungannya, maka dia tetap dengan dia. Muslim yang sejati.

WAllahu a'alam

AbuJihad
5Dis2016
Masjid PD.

Ahad, 3 Januari 2016

MANUSIA ITU BAIK


 بسم الله الرحمن الرحيم
 الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على محمد وعلى اله وصحبه أجمعين 

Allah swt telah menjadikan manusia itu dengan sebaik-baik kejadian. Dilengkapi kejadiannya dengan 1001 macam sifat bagi diguna pakai dalam kehidupannya.

Sifat tersebut baik dalam keadaan yang dilihat positif maupun dipandang negatif. Hakikat sebenarnya positif atau negatif sesuatu sifat itu kembali dimana ia diletakkan dan diguna pakai.

Allah swt juga menyempurnakan kejadian manusia ini dengan akal dan nafsu. Kemudian didatangkan alQuran dan Rasul utk memberi panduan kepada manusia bagaimana cara guna pakai objek diri dalam melalui kehidupan ini.

Allah swt juga menjadikan manusia ini seperti pelangi yang berwarna warni fizikal dan sifat serta caranya.

Allah swt pun menjadikan dunia dengan penuh perhiasan yang sangat mengkagumkan. Mungkin boleh sehingga membuatkan rasa takjub manusia dalam melintasinya.

Takjub dan kagum tadi jika dilayan sehingga boleh membuatkan manusia leka dan lalai dalam perjalanannya dan kemana tujuannya.

Itu sebab Allah swt  memberikan akal, Quran dan para Rasul sehingga hari ini pula pengganti lidah Rasul ada para ulamak.

Diguna pakai mereka ini untuk mengetahui hakikat sebenar disebalik perhiasan yang menggiurkan itu.

Tidak cukup dari itu didatangkan pelbagai bentuk yang dipanggil musibah sebagai mengejutkan kita untuk fokus semula kepada perjalanan kita.

Jika dilihat semuanya itu maka sudah pasti perkara wajib diantara yang wajib kita cari adalah ilmu pengetahuan agar mengerti dan memahami segala setiap sesuatu itu.

Manusia itu baik tetapi yang membuatkan ia cacat adalah disebabkan kejahilan dan kelalaiannya.

Semoga Allah swt memimpin kita dalam melalui lorong jalan dunia ini sampai kita kembali ke destinasi syurga yang kekal abadi.

Allah swt selamatkan kita dari kelalaian yang membuatkan kita terperosok jatuh kedalam neraka Allah swt,amin.


AbuJihad
Firefly
3Jan16