Isnin, 7 November 2016

HARAP KEJAYAAN ANAK

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه أجمعين

Setiap ibubapa pasti mengimpikan kejayaan bagi anak-anaknya. Arus perdana yang berjalan disekeliling juga diantara memain peranan dalam membentuk pemikiran masyarakat. Ini juga berlaku kepada ibubapa yang sibok hari ini menghantar anak-anak ke pengajian Islam terutamanya sekolah-sekolah tahfiz.

Fenomena ini bagaikan sebuah tsunami yang melanda masyarakat kini walaupun hakikatnya pengajian agama ini satu ketika dahulu tidak dipandang oleh setiap peringkat masyarakat. Bagi mereka mengaji agama ini tiada masa depan apatah lagi nak bekerja dengan kerajaan, nanti nak bagi anak bini makan apa. Bahkan dipulau keluarga atau ibubapa yang menghantar anak mereka pergi mengaji agama.

Tsunami ini berlaku bukan sekadar hasil dari kesedaran masyarakat bahkan yang merisaukan apabila ada juga golongan yang hanya menjadikannya sebagai " trend", akhirnya bukan kebaikan yang kunjung tiba tetapi sebaliknya kebinasaan.

Ini dapat dilihat mutakhir ini apabila semaian yang lepas sudah menunjukkan buahnya, apabila ahli akedemik dalam pengajian islam sudah menghasilkan percambahan luar jangkaan pada angka yang lahir dari graduate setiap tahun.

Ini dapat dilihat kejayaan dari segi angkanya tetapi isinya dan sejauhmana keberhasilan yang sepatut diguna pakai untuk agama, bangsa dan negara, mungkin ini perlu diamati terlebih dahulu mengenai hakikat pengertian sebuah kejayaan bagi seorang ahli akedemik.

Aku teringat kata-kata mudir aku sewaktu belajar di timur tengah. Perhimpunan akhir sebelum kami dilepaskan, tamat pengajian yang kami ikuti. Beliau mengatakan " saya tidak akan berbangga dengan keputusan peperiksaan kamu itu mumtaz, jaid jiddan maupun jaid, tetapi saya lebih berbangga dengan kamu apabila kamu pulang dengan membawa islam dengan kamu amalkan dan kamu sampaikan kepada masyarakat kamu, kamu berkerja untuk islam".

Mungkin kata-kata ini boleh diguna pakai bagi meletakkan sejauhmana kejayaan seseorang. Ini juga jika diperincikan maksudnya, maka bukan sekadar kerja buat dalam masyarakat bahkan bermula dengan diri tersebut iaitu adab dan akhlak. Kerana Imam Ghazali berkata adab dan akhlak itu adalah tsamarat (buah) bagi iman seseorang.

Adab dan akhlak seseorang juga memainkan peranan dalam menuju kepada sebuah kejayaan. Maka ilmu, jubah dan serban yang besar, pengikut yang ramai belum lagi dapat menjadi satu tanda bagi sebuah kejayaan seseorang.

Maka dalam menepati tuntutan Allah swt ini, ianya perlu dimulai dengan kesedaran dari ibubapa yang berpandukan ilmu pengetahuan, bukan sekadar kemahuan dan akal semata. Kemudian diikuti pula dengan niat yang benar-benar kerana Allah swt, bukan kerana mengikut orang apatah lagi kerana bidang kerja yang sangat luas bagi golongan agama pada hari ini.

Kemudian, fitrah hendakkan kebaikan diatas muka bumi ini bukanlah semudah yang dibayang tetapi ianya melalui liku yang penuh berduri, maka laluilah ianya dengan sabar, redha dan tawakal (doa).

InsyaAllah, semaian yang baik dan tekun dibuat pada hari ini akan dirasai bukan hanya didunia bahkan besok diakhirat Allah swt,amin. Mulakan pembangunan syariat Islam dalam diri dan keluarga, barulah mampu membina syariat dalam sebuah negara.

Mulakan kebaikan pada diri dan keluarga kamu, kemudian baru kamu akan dapati seorang pemimpin negara yang baik.

WAllahu a'alam.

AbuJihad
07Nov2016
HamparanHijau

Tiada ulasan:

Catat Ulasan