الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه أجمعين
Pada awalnya yang dirancang sepatutnya pergi kelas tetapi kerana menunggu giliran diklinik kerana ambil ubat orang rumah maka akhirnya terpaksa batal pergi kelas. Oleh kerana tidak jadi pergi kelas maka dicari kelas lain agar malam ini tetap terisi.
Sambil membelek helaian whatsapp yang masuk dengan izin Allah swt, aku terpandang iklan kuliah maghrib malam ni yang diisi oleh ayah Tuan. Selesai saja pertemuan dengan doktor, waktu maghrib yang sudah masuk dan tempat kuliah ayah Tuan tadi pun cuma sekadar 20 minit perjalanan masanya dengan kereta, maka aku pun pecut mengejar untuk mendapatkan maghrib dan majlis ilmu.
Dengan izin Allah swt sampai aku di surau yang tuju sambil suara ayah Tuan sudah mula berkumandang dicorong surau menunjukkan pengajian sudah dimulai. Aku mula selesaikan dulu urusan pertemuan aku dengan Tuhan aku yang dah memanggil dan menanti aku dari tadi, kemudian dengan tertib doa sebagai penutup perbicaraan aku dengan Tuhanku, aku terus menerjah ruang taman syurga tersebut sambil memulakan lipatan kaki yang selesa dan corong telinga aku dibuka besar.
Ruang dadaku dibuka luas agar ilmu yang disampaikan dapat disimpan kemas. Diantara perkara yang aku hendak kongsikan iaitu bagaimana perumpamaan yang diberikan oleh ayah Tuan mengenai hebatnya sifat pemurah yang ada dalam diri Rasulullah saw. Seperti " lubang air yang masuk kecil tetapi lubang air yang keluar jauh lebih besar ". Walaupun hakikatnya Rasulullah saw ini seorang yang kaya tetapi kekayaan Beliau itu tidak sempat melekat pada diri beliau kerana hebatnya sifat pemurah yang ada didalam diri.
Perkara ini dapat dilihat melalui kisah yang berlaku ketika Rasulullah saw menerima hadiah 50 ekor kambing, sahabat yang mendengar peristiwa tersebut datang menemui Rasulullah saw ingin meminta seekor dari 50 ekor kambing tersebut tetapi Rasulullah saw telah menghadiahkan kesemua kambing tersebut kepada sahabat tadi.
Cukup hebat sifat Rasulullah saw dalam menampilkan contoh yang terbaik. Kita hari ini cukup rasakan hebat hanya disebabkan kita membayar zakat simpanan dan pendapatan kita, sedangkan zakat ini wajib. Kehebatan seseorang itu dapat dilihat apabila dia melaksanakan perkara sunat dan memberikan sesuatu yang disayanginya. Kalau duit dalam dompet, maka jumlah yang paling besar yang akan diberinya.
Terkesima aku dibuatnya dengan siraman-siraman yang aku terima lebih-lebih lagi aku yang terlalu kurang kini dengan hidangan ilmu dari taman syurga. Itulah sebabnya kita digalakkan untuk sentiasa menhadiri majlis ilmu agar bukan sekadar ilmu yang kita dapat tetapi rahmat, redha dan keampunan Allah swt yang membuat kita seperti henset yang dicas baterinya.
Selesai solat isyak, sempat aku bertanya khabar ayah Tuan sambil beliau terkejut melihat aku dan menepuk-nepuk bahuku, aku terus minta permisi untuk terus pergi ke program sembang santai yang dibuat oleh pemuda kawasan aku.
Beberapa minit perjalanan, tempat yang aku tuju tadi dapat sampai dengan izin Allah swt, alhamdulillah. Program telah mulai, dua panel yang cukup aku kenali iaitu ustaz din dan abang bob. Sembang kali ini lebih kepada penjelasan barjet yang sedang dibentang dekat parlimen negara yang tersayang.
Huraian dan penjelasan yang sangat baik dari ustaz Din, lebih-lebih lagi ianya bukan sekadar menolak tetapi ada altenatif lain, bagi setiap permasalahan ada penyelasaiannya. Aku terkesima dengan huraian beliau tetapi memang tak pelik kerana beliau bukan hanya seorang ustaz tetapi khusus jurusan beliau adalah ekonomi.
Penutup dan kesimpulan yang abang bob buat pula mungkin tidak berkisar dengan perbincangan tetapi bagi aku ianya adalah nasihat yang sangat baik. Ini apabila sentuhan lebih kepada permasalahan masyarakat yang suka kagum dengan sesuatu. Kagum dengan harta, kagum dengan pangkat dan kedudukan.
Abang bob datangkan kisah yang berlaku dikedai beliau sendiri. Satu hari kedai beliau didatangi oleh beberapa orang ustaz yang sudah menjadi kenalan beliau juga, sedang ustaz-ustaz tersebut menjamah makanan yang telah dihidangkan dihadapan mereka, tetiba datang Dato M.Nasir seorang selebriti yang cukup terkenal.
Abang bob bertegur sapa dengan M.Nasir sambil mempersilakan duduk dengan ustaz-ustaz yang sedang makan tadi. Mereka yang mula dengan perkenalan sehinggalah satu persatu soalan diajukan oleh para ustaz tadi kepada M.Nasir. Pada awalnya abang bob mengharapkan agar ustaz-ustaz tadi dapat menjadi penjawab bagi soalan yang mungkin ada terbuku dalam benak M.Nasir tetapi sebaliknya pula yang berlaku.
Inilah gambar abang bob kepada kita apabila rasa kekaguman itu tidak dikawal dan diletakkan pada sesuatu yang betul-betul diperlukan maka ianya tidak mendatangkan kebaikan. Tidak ada kekaguman yang lebih baik kecuali apabila kita merasa kagum kepada kekuasaan Allah swt dan sifat soleh serta ketaatan yang telah ditonjolkan oleh para Nabi dan orang soleh.
Selagimana kekaguman kita ada pada dunia, selagi itulah kekaguman tidak akan dirasai kepada Allah swt. Tidak aku sangka malam ini banyak ilmu dan peringatan yang aku dapati, semoga ianya menjadi bekalan dalam permusafiran aku yang hampir penghujungnya ini.
WAllahu a'alam
AbuJihad
28Okt2016
SantaiSofa
Tiada ulasan:
Catat Ulasan