Rabu, 5 Mei 2010

PELAJAR HILANG DISOROK HANTU???

Subhanallah, tekejut dibuatnya apabila dikejutkan dengan satu suara dari luar rumah memanggil “ustaz adha!!!”. Bila tengok jam, pukul 2.30pagi rupanya. Disahut juga suara yang memanggil, takut ada kecemasan. Bila ditanya rupanya amin, tapi masa nak buka pintu rasa berat juga hati ini, risau juga dibuatnya akhir-akhir ni sebok orang hilang terutamanya golongan ustaz, entahlah.

Diberanikan juga hati ni untuk membuka pintu, bila buka didapati amin dengan jamadil ( warden sekolah). Ditanya : “ ada masalah ke amin?” mereka mengangguk dan memberitahu dengan cemas pelajar perempuan didapati hilang maghrib tadi. Amin menceritakan dengan panjang lebarnya kehilangan pelajar tersebut sehingga pihak keluarganya datang.

Panik juga dibuatnya tapi dalam panik tu ada juga terselit lucunya, apabila pihak keluarga pelajar tersebut membuat andaian terutama datuknya, kononnya pandai tengok makhluk-makhluk halus ni. Mereka mengatakan pelajar yang hilang tu disorok hantu, dikuatkan lagi dengan gelagat sepupu dia yang mengatakan nampak pelajar tu bersama hantu di atas pokok.

Pihak sekolah dan pelajar lelaki dah sebok duduk bekelah di hadapan asrama perempuan, ada yang azan di hadapan pokok yang kononnya di dapati pelajar itu berada, ada yang sebok membaca yasin dan ada juga yang tertidur di depan pintu kelas sampai tak sedar kucing duk ulang alik melangkahnya. Saya pula tak terus pergi, cuma mengambil langkah awal dari rumah je dulu.

Keesokkan harinya, terus telefon jamadil untuk bertanyakan berita terbaru mengenai pejar yang hilang tu tapi jamadil tak angkat. Telefon pula Ain (warden pelajar perempuan), ain menjawab, saya pun terus bertanyakan secara terperinci kejadian tersebut.

Tengah hari tu, terpaksalah bawa dua orang kuat di asrama perempuan tu untuk membuat laporan polis atas kehilangan pelajar tersebut. Lama juga dibuatnya di sana dengan ramai orang yang ingin membuat berbagai aduan dan permasalahan. Sampai ke giliran kami, Ain menceritakan kejadian tersebut kepada polis. Disebabkan pelajar yang hilang tu dibawah umur, pihak polis meminta kami terus membawa aduan tersebut ke IPK Kuala Lumpur untuk memberikan penerangan yang lebih rapi lagi.

Sampai di IPK Kuala Lumpur, kami terus berjumpa dengan seorang sarjan yang telah di pertanggungjawabkan untuk menyelesaikan kes ini. Panjang lebar juga dibuatnya perbicaraan kami, dari kes yang bersangkutan sampailah ke beberapa perkara yang saya sendiri dapat mengambil I’tibar dari apa yang di sampaikan oleh sarjan tersebut.
Jam dah menunjukkan pukul 6 lebih. Saya terpaksa batalkan kuliah maghrib malam tu, takut tak sempat ke sana. Rupanya di tengah jalan Ain mendapat panggilan dari pihak sekolah, pelajar yang hilang tu ada dirumah mak saudaranya di Selayang, kami terus bergegas ke sana.

Sampai di sana, rupanya mak saudaranya dah kunci rumah takut pelajar tersebut melarikan diri lagi. Panjang lebar juga cerita yang didapati dari mak saudara pelajar tersebut, apa yang terjadi berpunca dari keluarga yang tidak menunjukkan contoh yang terbaik. Bukan setakat itu sahaja, bahkan cubaan membunuh diri hendak dilakukan oleh pelajar tersebut.

Emak yang terlalu amat sedih tak habis-habis mengeluarkan kata-kata: “ engkau nak apa lagi, nak h.set, mak belikan. Engkau nak laptop, mak belikan. Apa lagi yang tak cukup?”

Tak cukup dengan itu, ada beberapa kejadian yang munkin tak berapa sedap nak dikongsi di sini.

Akhirnya kami membawa pelajar tersebut ke balai polis untuk membatalkan laporan yang telah dibuat. Pelajar tersebut dibawa pulang oleh pihak keluarganya dengan ucapan “terima kasih ye ustaz” itu saja.

Pengajaran dari kejadian ini, ibubapa adalah contoh yang terbaik. Bukan setakat menunaikan kehendak anak itu sudah mencukupi untuk menjadikan mereka yang terbaik tetapi didikkan dalam membuatkan diri tidak merasakan kekosongan, kembali kepada mengenali Tuhan dan menunjukkan keperibadian yang baik kepada mereka.

Bagi yang masih mempercayai perkara-perkara yang karut dan kurafat, kembalilah bertaubat dengan menjadikan Allah segala-galanya. Bukan tidak boleh percaya dengan perkara yang ghaib, bahkan itu menjadi tuntutan, tetapi jangan sampai menjadikan itu sebagai ukuran utama. Segala yang berkuasa hanyalah Allah swt sahaja selainnya tidak ada kuasa kecuali setelah mendapat izin dariNya.

Rupanya sepupu yang mengatakan nampak saudaranya bersama hantu di atas pokok tu bersubahat dalam kejadian “hantu menyorokkan pelajar ini”.

wAllahu A’lam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan