Selasa, 11 Mei 2010

RASA SYUKUR DISEBALIK TITISAN HUJAN LEBAT


Lima belas minit lagi hampir masuk waktu asar, aku terus menggerakkan setering kereta menuju ke masjid Ibn Sina, Titiwangsa. Petang itu aku diminta untuk menggantikan kedua-dua imam yang tiada dalam kawasan liputan. Hampir lima belas minit juga perjalanan dari rumahku ke masjid “rumah Allah swt”.

Dalam perjalanan, langit yang tadinya gelap, kini mula melabuhkan titisan demi titisan air sehingga aku terpaksa menyalakan pengelap cermin keretaku. Hujan yang semakin lebat, membuatkan tempat-tempat yang boleh dibuat berteduh, kini mula dipenuhi dengan penghuni yang tidak diundang. Berbagai gelagat mula dapat dilihat, dari yang masih meredah hujan yang lebat sehinggalah yang kini mendiami teduhan-teduhan hujan.

Gelagat yang berbagai itu membuatkan timbul bermacam perasaan dibenakku, lebih-lebih lagi rasa syukur dan terima kasih pada Allah swt yang telah memberikan segala nikmat buatku. Kini aku meredah hujan dengan menaiki kereta, walaupun satu masa dahulu aku pernah sepertimana mereka,bila hujan datang menerjah mulalah kami berebut-rebut mencari tempat untuk berteduh.

Perasan yang mula diselubungi rasa syukur tadi, kini menimbulkan berbagai tanda tanya, lebih-lebih lagi sejauhmana pengetahuan dan penerapan syukur itu di dalam kehidupan seharian. Adakah sudah mencukupi apa yang telah kita lakukan untuk menunjukkan syukur kita kepada Pencipta?

Firman Allah swt di dalam surah al Imran ayat 123 :

“وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنْتُمْ أَذِلَّةٌ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ”
Maksudnya: “ sesungguhnya Allah swt telah menolong kamu dalam peperangan Badar, padahal kamu adalah orang-orang yang lemah. Kerana itu bertakwalah kamu supaya kamu mensyukuriNya”.

Ayat ini menunjukkan bahawa Allah swt telah menerangkan kepada kita supaya bertaqwa sehingga melahirkan rasa syukur kita kepada Allah swt di atas segala nikmat yang telah diberikan. Taqwa adalah satu usaha yang dilakukan sebagai jalan dan penghantaran untuk melahirkan rasa syukur. Ia merangkumi perkara-perkara yang telah disyariatkan oleh Allah swt seperti solat, puasa, haji dan lain-lain lagi yang membawa pendekatan diri kepada Allah swt.

Permasalahan syukur ini juga telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw di dalam hadis beliau:

- حَدَّثَنَا أَبُو نُعَيْمٍ قَالَ حَدَّثَنَا مِسْعَرٌ عَنْ زِيَادٍ قَالَ سَمِعْتُ الْمُغِيرَةَ - رضى الله عنه - يَقُولُ إِنْ كَانَ النَّبِىُّ - صلى الله عليه وسلم - لَيَقُومُ لِيُصَلِّىَ حَتَّى تَرِمُ قَدَمَاهُ أَوْ سَاقَاهُ ، فَيُقَالُ لَهُ فَيَقُولُ « أَفَلاَ أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا » . طرفاه 4836 ، 6471 - تحفة 11498
Maksud dari kata-kata Nabi saw tersebut : “ Apakah kamu tidak mahu aku menjadi hamba yang bersyukur? “.

Hadis ini dipetik dari sebuah kelakuan solat Nabi saw sehingga didapati bengkak buku lali kakiNya. Dari kata-kata Nabi saw ini, dapatlah kita fahami bahawa usaha dan ketaatan yang kita tunjulkan itu adalah jalan untuk meraih syukur kita kepada Allah swt.

Firman Allah swt lagi di dalam surah Ibrahim ayat ke 7 :

" لَئِنْ شَكَرْتُمْ لأزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ "
Maksudnya : “ sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti aku akan menambah nikmat kepadamu. Dan jika kamu mengkufuri nikmatKu, sesungguhnya azabku itu sangat pedih”.

Penambahan nikmat setelah kita mensyukuri nikmat yang dianugerahkan Allah swt kepada kita telah dinukilkan semula oleh Said Hawa di dalam kitabnya ( Tazkiatun Nafs ). Beliau menyatakan lima keistimewaan yang akan diberikan kepada golongan yang bersyukur :

Pertama : kekayaan
Kedua : doa yang mustajab
Ketiga : diberikan rezeki
Keempat : diberikan keampunan
Kelima : diterima taubat

Kelima-lima keistimewaan yang telah diungkapkan oleh Said Hawa ini, menunjukkan betapa besarnya kelebihan yang telah disediakan oleh Allah swt kepada golongan yang telah meraih syukur dari Allah swt.

Azan berkumandang membuatkan aku tersentak dari lamunan aku yang masih di dalam kereta di tempat letak kereta masjid. Terus aku mematikan enjin keretaku dan melangkah masuk ke dalam masjid dengan tujuan dan harapan hati yang mengharap segala amalan yang dilakukan ini dapat menjadi penghantaran untuk menunjukkan rasa syukur kepada Allah swt sehingga jugalah kita meraih redha dari Allah swt.

wAllahu a’lam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan