Khamis, 16 Jun 2011

NEGARA BERKEBAJIKAN SELARI DENGAN KEHENDAK AGAMA ISLAM

UMNO benar-benar ketandusan idea dalam menghadapi kemaraan PAS dan Pakatan Rakyat (PR) sehinggakan bertindak seperti ‘gila meroyan’ apabila mencabar PAS mengugurkan perkataan Islam pada nama parti hanya kerana memperkenalkan slogan ‘Negara Berkebajikan’.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi baru-baru ini mencabar Mursyidul Am PAS, Datuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan agar menggugurkan sahaja perkataan Islam daripada PAS atau tukar saja nama parti itu kepada Parti Kebajikan se-Malaysia atas alas an bukan sahaja orang bukan Islam yang tidak faham malah orang Islam juga keliru dengan perjuangan negara Islam yang cuba dibawa oleh PAS sebelum ini.
Sementara itu Datuk Seri Mohd. Ali Rustam meminta Pendaftar Pertubuhan (ROS) membatalkan penggunaan nama Islam pada PAS kerana sejak dari dahulu lagi, UMNO menolak pihak yang memperalatkan agama demi kepentingan politik dan kini terbukti ia dituruti oleh PAS.
Bagi Datuk Seri Najib Tun Razak pula, PAS sebenarnya baru terfikir untuk mewujudkan negara berkebajikan sedangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah lama memperjuangkannya.

Bagi PAS, kenyataan-kenyataan tersebut hanyalah meyerlahkan lagi sifat ‘munafik’ UMNO yang selama ini penuh dengan slogan-slogan retorik serta tidak mempunyai idea baru dalam membangunkan negara. UMNO hanyalah bersandarkan kepada kefahaman politik kuno yang dilihat ketinggalan dalam merangka dasar pemerintahan negara.

Negara Berkebajikan yang PAS ingin tonjolkan sememangnya tidak lari daripada prinsip negara Islam kerana Islam itu adil kepada semua tanpa mengira kaum,bangsa dan agama. Kebajikan Islam bukanlah hanya bertujuan manfaat dunia sahaja namun juga menjurus kearah akhirat. Ianya juga terdapat di dalam Al Quran seperti yang telah diperjelaskan oleh Datuk Seri Tuan Guru Hj.Abd.Hadi Awang sebelum ini. Bagaimana pula boleh UMNO mengatakan yang PAS sudah lari dari prinsip perjuangan?

Senario yang berlaku di dalam negara kita sekarang adalah berpunca daripada kurangnya kebajikan daripada pemerintah yang ada. Sekiranya dikaji, antara punca jenayah, masalah social dan penceraian adalah berpunca daripada tekanan hidup dengan kos sara hidup yang semakin tinggi serta kurangnya didikan agama. Statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 2009 menunjukkan berlaku satu perceraian pada setiap 15 minit.83 anak luar nikah setiap hari di Malaysia. Setiap 17 minit seorang anak luar nikah dilahirkanSecara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Sejumlah 257,000 kelahiran tanpa bapa yang didaftar di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)

Negara Berkebajikan yang PAS tawarkan akan dapat menyelamatkan wang negara daripada dibazirkan kepada sumber-sumber asing dan kroni-kroni. Bukankah satu pembaziran apabila membayar sebuah syarikat yang mempunyai hubungan dengan Israel iaitu APCO sebanyak RM77 juta setahun? Tidak cukup lagikah RM18 juta yang telah digunakan untuk membaik pulih kediaman Perdana Menteri di zaman Tun Abdullah Badawi sehingga terpaksa membelanjakan lagi RM65 juta untuk tujuan yang sama sedangkan perdana menteri yang baru belum setahun menduduki kediaman tersebut?

Negara Berkebajikan juga tidak mengamalkan riba sepertimana kerajaan yang ada sekarang dalam mentadbir kewangan negara. Juga akan mengalirkan dana rakyat dengan amanah kepada yang berhak seperti memberikan biasiswa kepada yang mereka yang memerlukan. Pendidikan akan dititik beratkan supaya rakyat menjadi ‘celik ilmu’ dan tidak terkongkong dalam pemikiran sehala. Bagi yang beragama Islam, mereka akan diberikan kefahaman agama yang secukupnya supaya tidak menjadi ‘musuh kepada agama sendiri’ dengan masjid dan surau akan diimarahkan dengan sepenuhnya. Prasarana rakyat juga akan disediakan dengan secukupnya bagi menjamin rakyat dapat berkongsi kekayaan negara. Insyaallah, PAS akan mencadangkan diberikan cuti kepada isteri yang kematian suami sepanjang tempoh edah seperti mana yang dituntut oleh syarak.

Jadi adalah tidak wajar dengan mengatakan PAS sudah lari daripada prinsip perjuangan kerana Negara Berkebajikan sememangnya termaktub di dalam kitab suci umat Islam dan PAS menyarankan agar UMNO kembali duduk belajar agama bermula di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) milik PAS.

 

Disediakan oleh; 

YB Ust. Firdaus Jaafar

EXCO Dewan Pemuda PAS Pusat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan