بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة السلام على محمد وعلى اله وصحبه أجمعين
Pagi ini setelah aku bersiap-siap, sedikit masa ku berikan untuk cermin yang tersandar didinding ruang tengah rumahku. Selain melihat kekemasan yang aku perlu, terlihat diwajah semakin tampak yang dipanggil senja.
Cermin yang semakin pudar disebabkan kekotoran membuatkan semakin mengganggu pandanganku terhadap diriku. Mungkin itulah yang sering dikaitkan oleh ulamak tasawuf bahawa cermin itu ibarat hati kita.
Jika baik hati itu, maka semakin terserlah kekurangan diri kita tetapi sebaliknya pula bila tidak baik hati kita, sakit ia maka semakin pudar kita akan diri dan kekurangan kita.
Itulah yang sering berlaku dalam kehidupan seharian kita, terlalu mudah kita menghukum orang sekeliling kita. Mudah kita rasa tak puas hati dengan orang. Mudah sangat kita nampak kekurangan dan kesilapan orang. Susah kita nak menerima kesilapan dan kekurangan orang.
Hakikatnya sempurnakah kita? Adakah ini diantara gambaran cermin hati yang kotor? Apakah puncanya ?
Hakikatnya tiada manusia dan makhluk yang sempurna. Sempurna itu hanya pada Allah swt dan sempurna Rasulullah saw pula tertakluk dengan iradah Allah swt. Lalu kita serba kekurangan.
Hakikatnya kita tetap memerlukan orang lain sehingga sampai kita boleh melihat kekurangan diri kita dan memperbaikinya dengan melihat kesilapan dan kekurangan orang lain.
Kan itu lebih damai dari terus menghukum dan menyisihkan orang disebebkan mata ini melihat kekurangan dan kesilapannya.
Sudah biasa kita dengar punca hati yang kotor ini diantaranya bintik dosa yang melekat pada hati, akhirnya membuatkan hati diselaputi dengannya. Terjadilah kekaburan bahkan mungkin sehingga terus tidak lagi tampak.
Puncanya dengan dosa tu pulak, mungkin disebabkan ibadah yang tidak ikhlas, tidak istiqamah. Lalai dan leka bukan hanya pada perkara yang sudah menjadi kewajipan bahkan mengabaikan perkara sunnat itu juga boleh mengundang terjadi lemahnya dan hilang kekuatan hati.
Mengatasinya pula, sudah barang pasti pertama dan utama ialah meletakan diantara kewajipan yang wujud dalam jadual kehidupan adalah menghadiri majlis ilmu.
Disitu ada pengecas iman dan amal, lebih-lebih lagi fikrah akal diinstall dengan ilmu supaya kehidupan berjalan diatas landasannya tidak hanya semata-mata rasa akal.
Keduanya, memperbanyakkan membaca alQuran dan zikir yang ma'thur. Tidak hanya menjadikan ia sebagai amalan dimasa kosong tetapi kewajipan amalan yang telah ditetapkan masanya.
Ketiga, memperbanyakkan istiqfar. Bertaubat dan memohon ampun pada Allah swt. Tidak menunggu berbuat dosa baru bertaubat bahkan menjadikan ia sebagai amalan rutin sebagai tanda syukur atas segala nikmat yang diberikan oleh Allah swt.
Keempat, memperbanyakkan bersalawat keatas Nabi saw. Sentiasa mengingati Rasulullah saw supaya lahir hubungan dan ikatan dengan Rasulullah saw. Tidak bersalawat hanya waktu yang tertentu seperti hari sambutan maulid Nabi sahaja.
Semoga dengan kita berusaha dan memperbanyakkan doa, Allah swt memberikan kita cermin hati yang baik, kaca yang kuat dan jelas. Semoga makhluk Allah swt terutamanya manusia yang dijadikan disekeliling kita menjadi tarbiyah, didikkan yang membuat kita semakin mengenali diri kita.
Setelah kita kenal siapa kita, untuk apa kita disini dan kemana hala tuju kita, insyaAllah disitu akan hadir jalan untuk semakin kita kenali Allah swt.
WAllahu a'alam
AbuJihad
10 Dis 2015
Merbau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan