Ahad, 13 Disember 2015

TEH HALIA PANAS


 بسم الله الرحمن الرحيم
 الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على محمد وعلى اله وصحبه أجمعين 

Petang ini sebagaimana yang telah dirancang semalam, dirumah Dato' Doktor .... Beliau adalah seorang Doktor pakar dari pinggang ke atas, isteri beliau juga seorang doktor pakar dari pinggang ke bawah, anak dan menantu beliau juga seorang doktor. Keluarganya boleh dipanggil keluarga doktor. Itulah juga yang kebiasaan terjadi kepada golongan guru.

Setelah program yang kami rancang semalam selesai, duduk kami pula di satu sudut. Meja bulat yang telah tersedia cawan cantik sudah terisi dengan teh halia panas.

Dari satu cerita ke satu cerita kami cuba isi, agar masa tidak kosong begitu sahaja menantikan teh halia panas habis dihirup.

Aku mula bersuara lagi kepada Dato' tentang sebuah artikal yang aku baca tiga hari lepas mengenai peratus pesakit kenser usus dinegara kita naik sangat tinggi.

Dato' membenarkan pertanyaan aku tadi. Jawapannya bermula dengan katanya "punca pemakanan". Disapa pula oleh adik beliau dan disungguhkan lagi isteri beliau yang juga seorang doktor.

Paling tinggi pemakanan berpunca dari daging segera yang terlalu banyak seperti burger. Apabila aku dengar saja kata-kata "burger" tu, aku mula menggelengkan kepala aku.

Gambaran didalam kepala ku satu makanan yang sangat tinggi permintaannya disetiap lapisan masyarakat. Makanan yang simple, murah dan sedap. Tapi hakikatnya ia memudaratkan.

Hari demi hari kita akan dapati berbagai penyakit hadir tidak mengira lagi tahap usia bahkan si muda pula yang ramai berpenyakit dan mati disebabkannya.

Hakikat sebenar ini adalah peringatan dari Allah swt kepada kita apabila sesuatu itu diambil dengan tanpa batas yang telah ditetapkan olehNya.

Hidup kita ini apa jua yang dilalui pasti tidak terlepas dari hukum Allah swt yang lima: harus, makruh, sunat, wajib dan haram. Itulah batas ketetapan Allah swt.

Perkara ini sehinggalah termasuk juga makan. Itu sebab makan ini Allah swt telah memberikan penekanan batasnya bukan sekadar HALAL tetapi disertakan dengan thoib ( baik ).

Maka ketika itu jangan dikira dan dilihat terpampang cap HALAL JAKIM pada sesuatu makanan tersebut sahaja tetapi cara kita mengambil makanan itu pun perlu diambil kira.

Itu sebabnya apabila kita melihat Rasulullah saw mengajar kita berhadapan dengan makanan " makan ketika lapar, berhenti sebelum kenyang "

Ini sahaja telah menunjukkan kepada kita bahawa makan itu bukan mengikut kehendak atau suka-suka hati kita.

Cukup salah pandangan segelintir kita yang menyatakan " makan sakit, tak makan pun sakit...baik makan saja".

Yah benar, kalau mahu sakit tetap juga akan sakit. Doktor pun sakit. Tetapi jangan kita lupa bahawa setiap sesuatu musibah yang didatangkan oleh Allah swt itu ada dua :

Pertama, musibah itu didatangkan untuk menaikan lagi kedudukan seseorang itu dengan Allah swt. Ini adalah bagi mereka yang telah ia menjaga tapi masih terkena juga, maka ketika itu untuk mendekatkan lagi dirinya dengan Allah swt.

Kedua, musibah itu didatangkan untuk menghapuskan  dosanya. Ini adalah kerana seseorang yang tidak menjaga dan memelihara dirinya, maka ketika itu apabila ia terkena, musibah itu untuk menghapuskan dosanya atas kelalaiannya.

Oleh itu, segalanya adalah amanah dari Allah swt. Tidak ada sesuatu pun yang tidak termasuk amanah Allah swt. Maka  wajib kita tunaikan dan hadapinya mengikut kehendak Allah swt. Bukan sesuka hati kita.

Semoga dengan usaha kita ini menjadi jalan untuk kita meraih redha Allah swt didunia bahkan lebih-lebih lagi diakhirat Allah swt. Jangan kita terazab didunia dan diazab diakhirat, nauzubillah min zalik.


WAllahu a'alam

AbuJihad
13 Dis 2015
RnR Sungai Buloh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan