بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة السلام على محمد وعلى اله وصحبه أجمعين
Sudah barang pasti kejadian manusia ini punya matlamat yang menjadi kewajipan untuk dilunaskan diatas muka bumi yang sementara ini.
Kekadang tu kita hanya tertumpu kepada kewajipan solat, puasa, zakat dan haji tanpa mengira kewajipan yang lain yang mana ianya juga adalah tuntutan dan kewajipan dari Allah swt.
Maka sebab itu kewajipan menuntut ilmu menjadi teras utama dalam menunaikan tugasan dan juga dalam melalui kehidupan didunia ini agar akalnya yang kosong itu diisi dengan petunjuk yang baik serta fitrah kehidupan itu dapat selari dengan ilmu yang datang dari agama fitrah.
Manusia ini Allah swt jadikan seperti pelangi, penuh berwarna warni. Pelbagai ragam sifat dan keadaan lapisan yang memerlukan diantara satu sama lain.
Ketika itu, kewajipan ia pun berbeza-beza mengikut peringkat individu tersebut. Walaupun sedemikian ianya tidaklah menunjukkan kepada seseorang itu mempunyai kewajipan yang besar, maka dialah lebih mulia dari yang lain tetapi sejauhmana seseorang itu dalam mendepani dan menunaikan kewajipannya.
Seorang individu, maka kewajipannya kepada Tuhannya, dirinya, keluarganya, masyarakat serta kehidupan sekelilingnya. Ini apatah lagi seseorang yang mempunyai kewajipan yang lebih besar seperti pemimpin negara masyarakat, cendiakawan agama, ahli politik dan seangkatan dengan mereka.
Maka semua ini wajib mengetahui akan kewajipan yang ditunaikan kepada semua yang menjadi tanggungjawabnya. Juga ia perlu mengetahui akan batas-batas setiap apa yang diberikan agar setiap lunasan tersebut mengikut apa yang sepatutnya.
Seperti seorang suami yang menunaikan tanggungjawab kepada isteri dan anak-anak, itu adalah perkara yang baik tetapi jangan sampai dia lupa dan dilalaikan sehingga melanggar tuntutan tanggungjawabnya kepada Allah swt, kedua ibubapanya serta masyarakat.
Seorang isteri menunaikan tanggungjawabnya kepada suami, itu satu amalan yang baik tetapi jangan lupa akan batasnya sehingga ia lalai kewajipan kepada Tuhannya. Didalam solatnya yang sepatutnya diberikan kepada Allah swt tetapi masih teringatkan baju suami dan anak2 yg bersekolah belum digosok, sarapan belum dibuat.
Seorang pemimpin menunaikan tanggungjawabnya kepada rakyat dengan diberikan keseronokan, duit tahunan, pembangunan mencakar langit, kemodenan kononnya tetapi diabaikan agamanya, amanahnya kepada Tuhannya, melaksanakan pemerintahannya tidak berpandukan alQuran dan sunnah, maka tetap dia melanggar batas-batas kesempurnaan kewajipan yang sepatut ditunaikan.
Seorang cendiakawan agama memberikan kuliah dan peringatan kepada masyarakatnya tetapi adakah cukup dengan itu jika masih banyak lapisan dan golongan lain memerlukannya. Tidak amanah dalam menyampaikan apa yang sepatutnya. Perkara mungkar ditangani mengikut pakaian dan kedudukan.
Apabila semua ini berlaku, maka sudah barang pasti kewajipan itu tidak ditunaikan mengikut sepatutnya. Ketika itu yang hidup melatar diatas dunia ini hanya membangkai semata-mata. Orang putih kata zombi. Walaupun hebat kedudukannya, hebat pakaiannya, berkeping sijilnya, menarik paras rupanya, tidak lebih hanya zombi yang dipanggil bangkai bernyawa.
Oleh itu, sesama kita memuhasabah diri senantiasa agar kewajipan yang sepatutnya dapat ditunaikan mengikut kehendak Allah swt bukan semata-mata kemahuan kita dan rasa akal sahaja.
Banyakkan bertaubat dan memohon petunjuk dan bimbingan dari Allah swt agar kita terselamat dari nerakanya,amin.
WAllahu a'alam
AbuJihad
11 Dis 2015
Buaian Pink
Tiada ulasan:
Catat Ulasan