Ahad, 13 Disember 2015

TEH HALIA PANAS


 بسم الله الرحمن الرحيم
 الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على محمد وعلى اله وصحبه أجمعين 

Petang ini sebagaimana yang telah dirancang semalam, dirumah Dato' Doktor .... Beliau adalah seorang Doktor pakar dari pinggang ke atas, isteri beliau juga seorang doktor pakar dari pinggang ke bawah, anak dan menantu beliau juga seorang doktor. Keluarganya boleh dipanggil keluarga doktor. Itulah juga yang kebiasaan terjadi kepada golongan guru.

Setelah program yang kami rancang semalam selesai, duduk kami pula di satu sudut. Meja bulat yang telah tersedia cawan cantik sudah terisi dengan teh halia panas.

Dari satu cerita ke satu cerita kami cuba isi, agar masa tidak kosong begitu sahaja menantikan teh halia panas habis dihirup.

Aku mula bersuara lagi kepada Dato' tentang sebuah artikal yang aku baca tiga hari lepas mengenai peratus pesakit kenser usus dinegara kita naik sangat tinggi.

Dato' membenarkan pertanyaan aku tadi. Jawapannya bermula dengan katanya "punca pemakanan". Disapa pula oleh adik beliau dan disungguhkan lagi isteri beliau yang juga seorang doktor.

Paling tinggi pemakanan berpunca dari daging segera yang terlalu banyak seperti burger. Apabila aku dengar saja kata-kata "burger" tu, aku mula menggelengkan kepala aku.

Gambaran didalam kepala ku satu makanan yang sangat tinggi permintaannya disetiap lapisan masyarakat. Makanan yang simple, murah dan sedap. Tapi hakikatnya ia memudaratkan.

Hari demi hari kita akan dapati berbagai penyakit hadir tidak mengira lagi tahap usia bahkan si muda pula yang ramai berpenyakit dan mati disebabkannya.

Hakikat sebenar ini adalah peringatan dari Allah swt kepada kita apabila sesuatu itu diambil dengan tanpa batas yang telah ditetapkan olehNya.

Hidup kita ini apa jua yang dilalui pasti tidak terlepas dari hukum Allah swt yang lima: harus, makruh, sunat, wajib dan haram. Itulah batas ketetapan Allah swt.

Perkara ini sehinggalah termasuk juga makan. Itu sebab makan ini Allah swt telah memberikan penekanan batasnya bukan sekadar HALAL tetapi disertakan dengan thoib ( baik ).

Maka ketika itu jangan dikira dan dilihat terpampang cap HALAL JAKIM pada sesuatu makanan tersebut sahaja tetapi cara kita mengambil makanan itu pun perlu diambil kira.

Itu sebabnya apabila kita melihat Rasulullah saw mengajar kita berhadapan dengan makanan " makan ketika lapar, berhenti sebelum kenyang "

Ini sahaja telah menunjukkan kepada kita bahawa makan itu bukan mengikut kehendak atau suka-suka hati kita.

Cukup salah pandangan segelintir kita yang menyatakan " makan sakit, tak makan pun sakit...baik makan saja".

Yah benar, kalau mahu sakit tetap juga akan sakit. Doktor pun sakit. Tetapi jangan kita lupa bahawa setiap sesuatu musibah yang didatangkan oleh Allah swt itu ada dua :

Pertama, musibah itu didatangkan untuk menaikan lagi kedudukan seseorang itu dengan Allah swt. Ini adalah bagi mereka yang telah ia menjaga tapi masih terkena juga, maka ketika itu untuk mendekatkan lagi dirinya dengan Allah swt.

Kedua, musibah itu didatangkan untuk menghapuskan  dosanya. Ini adalah kerana seseorang yang tidak menjaga dan memelihara dirinya, maka ketika itu apabila ia terkena, musibah itu untuk menghapuskan dosanya atas kelalaiannya.

Oleh itu, segalanya adalah amanah dari Allah swt. Tidak ada sesuatu pun yang tidak termasuk amanah Allah swt. Maka  wajib kita tunaikan dan hadapinya mengikut kehendak Allah swt. Bukan sesuka hati kita.

Semoga dengan usaha kita ini menjadi jalan untuk kita meraih redha Allah swt didunia bahkan lebih-lebih lagi diakhirat Allah swt. Jangan kita terazab didunia dan diazab diakhirat, nauzubillah min zalik.


WAllahu a'alam

AbuJihad
13 Dis 2015
RnR Sungai Buloh.

Jumaat, 11 Disember 2015

HIDUP MEMBANGKAI




بسم الله الرحمن الرحيم
 الحمد لله رب العالمين والصلاة السلام على محمد وعلى اله وصحبه أجمعين


Allah swt menjadikan kita diatas muka bumiNya ini bertujuan dan bermatlamat. Kalau seketul batu dan pohon senuduk yang kita rasakan tidak ada faedah bagi kita, pun ada faedahnya bagi ilmu Allah swt. Ini kan pula manusia yang disempurnakan kejadiannya dengan akal dan nafsu.

Sudah barang pasti kejadian manusia ini punya matlamat yang menjadi kewajipan untuk dilunaskan diatas muka bumi yang sementara ini.

Kekadang tu kita hanya tertumpu kepada kewajipan solat, puasa, zakat dan haji tanpa mengira kewajipan yang lain yang mana ianya juga adalah tuntutan dan kewajipan dari Allah swt.

Maka sebab itu kewajipan menuntut ilmu menjadi teras utama dalam menunaikan tugasan dan juga dalam melalui kehidupan didunia ini agar akalnya yang kosong itu diisi dengan petunjuk yang baik serta fitrah kehidupan itu dapat selari dengan ilmu yang datang dari agama fitrah.

Manusia ini Allah swt jadikan seperti pelangi, penuh berwarna warni. Pelbagai ragam sifat dan keadaan lapisan yang memerlukan diantara satu sama lain.

Ketika itu, kewajipan ia pun berbeza-beza mengikut peringkat individu tersebut. Walaupun sedemikian ianya tidaklah menunjukkan kepada seseorang itu mempunyai kewajipan yang besar, maka dialah lebih mulia dari yang lain tetapi sejauhmana seseorang itu dalam mendepani dan menunaikan kewajipannya.

Seorang individu, maka kewajipannya kepada Tuhannya, dirinya, keluarganya, masyarakat serta kehidupan sekelilingnya. Ini apatah lagi seseorang yang mempunyai kewajipan yang lebih besar seperti pemimpin negara masyarakat, cendiakawan agama, ahli politik dan seangkatan dengan mereka.

Maka semua ini wajib mengetahui akan kewajipan yang ditunaikan kepada semua yang menjadi tanggungjawabnya. Juga ia perlu mengetahui akan batas-batas setiap apa yang diberikan agar setiap lunasan tersebut mengikut apa yang sepatutnya.

Seperti seorang suami yang menunaikan tanggungjawab kepada isteri dan anak-anak, itu adalah perkara yang baik tetapi jangan sampai dia lupa dan dilalaikan sehingga melanggar tuntutan tanggungjawabnya kepada Allah swt, kedua ibubapanya serta masyarakat.

Seorang isteri menunaikan tanggungjawabnya kepada suami, itu satu amalan yang baik tetapi jangan lupa akan batasnya sehingga ia lalai kewajipan kepada Tuhannya. Didalam solatnya yang sepatutnya diberikan kepada Allah swt tetapi masih teringatkan baju suami dan anak2 yg bersekolah belum digosok, sarapan belum dibuat.

Seorang pemimpin menunaikan tanggungjawabnya kepada rakyat dengan diberikan keseronokan, duit tahunan, pembangunan mencakar langit, kemodenan kononnya tetapi diabaikan agamanya, amanahnya kepada Tuhannya, melaksanakan pemerintahannya tidak berpandukan alQuran dan sunnah, maka tetap dia melanggar batas-batas kesempurnaan kewajipan yang sepatut ditunaikan.

Seorang cendiakawan agama memberikan kuliah dan peringatan kepada masyarakatnya tetapi adakah cukup dengan itu jika masih banyak lapisan dan golongan lain memerlukannya. Tidak amanah dalam menyampaikan apa yang sepatutnya. Perkara mungkar ditangani mengikut pakaian dan kedudukan.

Apabila semua ini berlaku, maka sudah barang pasti kewajipan itu tidak ditunaikan mengikut sepatutnya. Ketika itu yang hidup melatar diatas dunia ini hanya membangkai semata-mata. Orang putih kata zombi. Walaupun hebat kedudukannya, hebat pakaiannya, berkeping sijilnya, menarik paras rupanya, tidak lebih hanya zombi yang dipanggil bangkai bernyawa.

Oleh itu, sesama kita memuhasabah diri senantiasa agar kewajipan yang sepatutnya dapat ditunaikan mengikut kehendak Allah swt bukan semata-mata kemahuan kita dan rasa akal sahaja.

Banyakkan bertaubat dan memohon petunjuk dan bimbingan dari Allah swt agar kita terselamat dari nerakanya,amin.

WAllahu a'alam

AbuJihad
11 Dis 2015
Buaian Pink

Khamis, 10 Disember 2015

CERMIN RUANG TAMU RUMAHKU



بسم الله الرحمن الرحيم
 الحمد لله رب العالمين والصلاة السلام على محمد وعلى اله وصحبه أجمعين


Pagi ini setelah aku bersiap-siap, sedikit masa ku berikan untuk cermin yang tersandar didinding ruang tengah rumahku. Selain melihat kekemasan yang aku perlu, terlihat diwajah semakin tampak yang dipanggil senja.

Cermin yang semakin pudar disebabkan kekotoran membuatkan semakin mengganggu pandanganku terhadap diriku. Mungkin itulah yang sering dikaitkan oleh ulamak tasawuf bahawa cermin itu ibarat hati kita.

Jika baik hati itu, maka semakin terserlah kekurangan diri kita tetapi sebaliknya pula bila tidak baik hati kita, sakit ia maka semakin pudar kita akan diri dan kekurangan kita.

Itulah yang sering berlaku dalam kehidupan seharian kita, terlalu mudah kita menghukum orang sekeliling kita. Mudah kita rasa tak puas hati dengan orang. Mudah sangat kita nampak kekurangan dan kesilapan orang. Susah kita nak menerima kesilapan dan kekurangan orang.

Hakikatnya sempurnakah kita? Adakah ini diantara gambaran cermin hati yang kotor? Apakah puncanya ?

Hakikatnya tiada manusia dan makhluk yang sempurna. Sempurna itu hanya pada Allah swt dan sempurna Rasulullah saw pula tertakluk dengan iradah Allah swt. Lalu kita serba kekurangan.

Hakikatnya kita tetap memerlukan orang lain sehingga sampai kita boleh melihat kekurangan diri kita dan memperbaikinya dengan melihat kesilapan dan kekurangan orang lain.

Kan itu lebih damai dari terus menghukum dan menyisihkan orang disebebkan mata ini melihat kekurangan dan kesilapannya.

Sudah biasa kita dengar punca hati yang kotor ini diantaranya bintik dosa yang melekat pada hati, akhirnya membuatkan hati diselaputi dengannya. Terjadilah kekaburan bahkan mungkin sehingga terus tidak lagi tampak.

Puncanya dengan dosa tu pulak, mungkin disebabkan ibadah yang tidak ikhlas, tidak istiqamah. Lalai dan leka bukan hanya pada perkara yang sudah menjadi kewajipan bahkan mengabaikan perkara sunnat itu juga boleh mengundang terjadi lemahnya dan hilang kekuatan hati.

Mengatasinya pula, sudah barang pasti pertama dan utama ialah meletakan diantara kewajipan yang wujud dalam jadual kehidupan adalah menghadiri majlis ilmu.

Disitu ada pengecas iman dan amal, lebih-lebih lagi fikrah akal diinstall dengan ilmu supaya kehidupan berjalan diatas landasannya tidak hanya semata-mata rasa akal.

Keduanya, memperbanyakkan membaca alQuran dan zikir yang ma'thur. Tidak hanya menjadikan ia sebagai amalan dimasa kosong tetapi kewajipan amalan yang telah ditetapkan masanya.

Ketiga, memperbanyakkan istiqfar. Bertaubat dan memohon ampun pada Allah swt. Tidak menunggu berbuat dosa baru bertaubat bahkan menjadikan ia sebagai amalan rutin sebagai tanda syukur atas segala nikmat yang diberikan oleh Allah swt.

Keempat, memperbanyakkan bersalawat keatas Nabi saw. Sentiasa mengingati Rasulullah saw supaya lahir hubungan dan ikatan dengan Rasulullah saw. Tidak bersalawat hanya waktu yang tertentu seperti hari sambutan maulid Nabi sahaja.

Semoga dengan kita berusaha dan memperbanyakkan doa, Allah swt memberikan kita cermin hati yang baik, kaca yang kuat dan jelas. Semoga makhluk Allah swt terutamanya manusia yang dijadikan disekeliling kita menjadi tarbiyah, didikkan yang membuat kita semakin mengenali diri kita.

Setelah kita kenal siapa kita, untuk apa kita disini dan kemana hala tuju kita, insyaAllah disitu akan hadir jalan untuk semakin kita kenali Allah swt.

WAllahu a'alam

AbuJihad
10 Dis 2015
Merbau.

Selasa, 8 Disember 2015

AKU DAN MATI

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة السلام على محمد وعلى اله وصحبه أجمعين


Mutakhir ini kita dikejutkan dengan kematian yang bersilih ganti. Dari yang kematian yang disebabkan sakit sampailah kematian yang tidak diketahui penyakitnya.

Beberapa hari yang lepas kemangkatan anakanda Sultan Johor seusia yang masih muda disebabkan sakitnya.

Sebelum itu kita dikejutkan dengan kembali kerahmatullah Pak Yus Jambu, satu nama yang cukup dikenali dipersada seni tanah air. Kematian beliau yang hanya sesak nafas. Sebelum itu masih sempat menghiburkan peminat beliau.

Sebelum itu lagi, kita digemparkan juga seorang ustaz yang jatuh meninggal dunia setelah selesai menyampaikan kuliah maghrib.

Sebelum itu lagi lagi, kita dikhabarkan seorang ustaz juga yg meninggal dunia didalam tidurnya apabila dikejut oleh isterinya ia telah tiada.

Dalam masa dua bulan ini, terlalu banyak contoh-contoh kematian yang sangat besar peringatan buat kita.

Kematian itu pasti. Semua yg bernyawa pasti melalui. Semua mengetahui dan meyakininya.

Tetapi sejauhmana kita merialisasikan keyakinan kita? Adakah hanya percaya dengan tahu atau amalan kita yg menunjukkan persiapan untuk melaluinya bahkan untuk bekalan kehidupan akhirat kita.

Bersyukurlah mereka yang diberikan sakit.
Bersyukurlah mereka yang mempunyai uban di kepala.
Bersyukurlah mereka yang rompong giginya.
Bersyukurlah mereka yang lemah2 dan sakit2 badannya.
Bersyukurlah mereka yang sakit pinggang dan lututnya.

Ketahuilah itu semua adalah alamat2 kematian. Bersyukurlah kepada yg telah memberikan  tanda sebagai peringatan akan kedatangan mati.

Bagi yang hebat dan kuat, tidak sakit dan sihat...kamu lebih sepatutnya takut akan mati kerana mati datang padamu tanpa beri salam padamu.

Bila kita akan mati, kita tidak tahu dan tiada siapa yang boleh memberitahu bila mati kita.

Sudah kita bersedia untuk mati, jika habis sahaja kita baca artikal ini kita mati?

Bagaimana dengan solat kita? Kita solat selama ini dengan ilmu atau sekadar ikut2 ?
Jika solat itu baik, adakah tepati waktunya dan mematahkan ia?

Bagaimana pula bacaan quran kita? Berapa banyak masa kita berikan pada quran dan berapa banyak masa kita berikan pada henset kita?

Rasanya jika kita mati terdekat ini, adakah alquran akan menemani kita setelah mati atau henset yang tidak pernah kita lekang menggenggamnya.

Kesempatan yang masih Allah swt berikan ini, marilah sama2 kita perbaikinya.

1. Kemahuan
2. Perancangan
3. Usaha
4. Doa

Semoga Allah swt datangkan akhir kehidupan kita ini dengan husnul khatimah. Pintu penentu kehidupan akhirat dengan kebaikan,amin.

WAllahu a'alam.


AbuJihad
8 Dis 2015
Kedai Asam Pedas Jempol
Sungai Buloh

Ahad, 6 Disember 2015

JAKARTA, MACET DAN AKU.


بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة السلام على محمد وعلى اله وصحبه أجمعين 

Alhamdulillah, syukur kepada Allah swt yang telah mendatangkan 1001 macam peringatan sebagai tanda kasihNya pada kita.

Salawat dan salam buat Nabi akhir zaman yg tidak putus asa dalam berusaha menyampaikan peringatan atas dasar kasih dan sayangnya pada umatnya.

Selasa minggu lepas, alhamdulillah Allah swt berikan kesempatan untuk menjelajah bumi Allah swt di Jakarta selama tiga hari.

Jam 5.30 petang bertolak dari klia dengan menaiki sebuah pesawat KLM yang berasal dari Belanda, memakan masa perjalanan selama 1.40minit telah selamat sampai ke Bandara Soekarno Hatta pada jam 7 malam.

Sebaik sahaja selesai pengurusan cop imigresen dan mengambil tas pakaian, keluar kami dari Bandara dijemput oleh Dato' Baha, Dr. Wan dan ustaz Rauf yang menjadi pengelola program kami disana.

Sambil menunggukan van yang datang menjemput kami, sempat kami bertanya kepada Dato' Baha akan kemana tujuan kami selepas ini dan dimana penginapan kami malam ini, jauh ke?

Dato' Baha cuba menerangkan program serta penempatan kami. Dato' juga memberitahu, tempat kami tu tak jauh cuma kalau macet maka perjalanannya dua jam.

Sebaik sahaja van sampai, Kami meneruskan perjalanan dengan keterujaan kami yang baru pertama sampai ke bandaraya yang terkenal dengan kepadatan penduduknya serta terkenal kemacetan jalanraya.

Malam tersebut, kami mula sudah merasainya suasana bandaraya ini. Kemacetan kenderaannya bukan sekadar mobilnya bahkan sepeda motornya pun macet.

Beberapa hari disana, dengan perkongsian dan menimba ilmu pendidikan yg cukup banyak serta menjelajah kehidupan kota besar itu, kami dapati pengalaman menggunung yang perlu dibawa pulang untuk kebaikan bersama.

Sebuah kota besar, jutaan penduduk, kehidupan golongan kaya dan miskin. Kesebokan dan kemacetan jalan. Disitu ada 1001 macam ibrah dan pengajaran.

1. Kesusahan, kepayahan yang mereka alami membuatkan mereka semakin kuat berdikari dan mencari, sehinggakan dijalan2 yg macet itu boleh kita dapati mereka yang berniaga koran, kacang2 dan buah potong.

2. Walaupun kepadatan penduduk dan pengguna yg berjuta, tandas awam mereka cukup bersih sehingga tidak ada rasa ketidak selesaan kami menggunakannya.

3. Sistem pembelajaran mereka yang jauh kedepan sehingga mereka lebih banyak penekanan pembelajarannya dengan cara praktikal dibandingkan buku yg banyak dengan teori semata2.

Indonesia yg sudah sinonim seperti abang dan kita malaysia seperti adik, sudah kira banyak perkara yg boleh kita belajar pada mereka.

Mungkin ada kekurangan mereka tetapi bukan bermakna kelebihan mereka tidak boleh kita timba.

Orang lama pernah berkata " yang baik jadikan pengajaran...yang buruk jadikan sempadan "

Semoga sejenak jakarta, macet dan aku ini dapat menghasilkan kebaikan yg besar lebih2 lagi sebuah travellog yg dapat dikongsi bersama.

Semoga Allah swt sentiasa membuka pintu tarbiyah dan didikan kepada kita dalam melalui kehidupan ini sehingga kita menggapai redha Allah swt,amin.

WAllahu a'alam

AbuJihad
6 Dis 2015
Menunggu warga bersiap untuk digula2.

Sabtu, 28 November 2015

AKAL & DOWNLOAD



بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة السلام على محمد وعلى اله وصحبه أجمعين 

Alhamdulillah, syukur kepada Allah swt yang telah mendatangkan 1001 macam peringatan sebagai tanda kasihNya pada kita.

Salawat dan salam buat Nabi akhir zaman yg tidak putus asa dalam berusaha menyampaikan peringatan atas dasar kasih dan sayangnya pada umatnya.

Sambil menunggu giliran masa berlepas yang jauh lagi. Tertarik melihat fashion tudung yang dipakai oleh kaum hawa. Berbagai rupa dan bentuk warna dan rupa.

Kini tudung bukan hanya tuntutan syariah menutup aurat tetapi fashion yang menjadi tuntutan masyarakat.

Segalanya apabila diukur sesuatu itu dengan akal dan kehendak semata-mata.

Akal merupakan kurnia agung yang diberikan Allâh Azza wa Jalla kepada bani Adam. Ia adalah pembeza antara manusia dengan haiwan, dengannya mereka dapat terus berinovasi dan membangun peradaban, dan dengannya mereka dapat membezakan mana yang bermanfaat dan mana yang berbahaya sesuai jangkauan akal mereka.

Dalam masa yang sama Allah swt menjadikan syariah sebagai batas dan garis panduan agar akal dapat dipandu dengan jalan yang betul serta membantu menghurai sesuatu yang berada diluar jangkauan akal.

Disitu juga Allah swt menunjukkan kepada kita bahawa keterbatasan akal itu sebagai tanda Maha Agungnya Allah swt dalam masa yang sama lemahnya kita sebagai makhlukNya.

Bahkan lebih-lebih lagi dengan kehadiran syariah, tika mana bertentangan dengan kehendak akal maka disitulah Allah swt ingin melihat sejauhmana ketaatan kita kepada perintah dan ketetapanNya.

Kaum Nabi Allah Nuh a.s diuji dengan syariah ketetapan Allah swt yang bercanggah kehendak akal umatnya apabila diperintahkan Nabi Nuh membina bahtera, bukan ditepi pantai atau laut yang sepatut tetapi lebih tidak diterima akal lagi diperintah buat dikemuncak bukit.

Akhirnya yang beriman hanya dalam lingkungan 100 orang.

Setiap lapisan umat para rasul pasti ada golongan yang tidak menerima syariah yang dibawa atas dasar akal yang tidak dapat menerimanya.

Ianya berlaku sehinggalah hari ini, golongan yang mengukur setiap sesuatu itu dengan akal semata-mata.

Tidak menerima syariah Allah swt yang termaktub didalam alQuran, diambil dan ditolak semahunya mengikut akal.

Berjuang menegakkan Islam katanya tapi nama Islam itu sendiri jangan disebut dan diguna pakai, takut hilang sokongan.

Itu sebabnya syariah Allah swt ini tidak boleh di ukur dengan akal semata-mata tetapi memerlukan sifat taat dan taabud kehambaan kepada Allah swt.

Maka ketika itu akal perlu di download dengan ilmu yang berteras AlQuran dan Sunnah Nabi saw sehingga lahir sifat kehambaan.

Ketika itu barulah kita dapati akal dengan baik berfungsi diatas syariat yang telah ditetapkan oleh Allah swt.

"Tuntutlah Ilmu Sampai Mati"

WAllahu a'alam


AbuJihad
28 Nov 2015
Airport Kota Bharu

Jumaat, 27 November 2015

ULAMAK POWERBANK


بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة السلام على محمد وعلى اله وصحبه أجمعين 

Alhamdulillah syukur pada Allah swt yg telah mengizinkan segalanya itu berlaku dengan rahmatNya.

Selawat dan salam buat junjungan alam Rasulullah saw sebagai payung rahmat yg telah meninggalkan ulamak sebagai lidah penerus buat ummatNya.

Alhamdulillah, ketibaan pagi tadi di airport Kota Baharu disambut dengan renjisan hujan yg menunjukkan sebanyak tak terkira bahkan lebih jauh lagi rahmat Allah swt dalam mentadbir makhlukNya.

Program bersama ulamak pada hari ini di MADU, Machang Kelantan bukan sahaja satu tuntutan dari jemaah didalam slot-slot secara formal tetapi rupanya bermula dari permulaan menemui mereka tika sampai ditempat program telah banyak ilmu dan pengetahuan yg ditimba.

Senyuman, sapaan mereka sehingga perbualan mereka dikala santapan pasti ada denyutan kekuatan akan didapati, mungkin itulah yg dikatakan ulamak pewaris Nabi saw.

Betapa besar dan penting kebersamaan kita bersama mereka, menjadikan mereka sebagai idola contoh sehingga menjadikan mereka sebagai tempat rujukan setiap langkah kehidupan yg dilalui.

Jangan hanya sekadar menjadikan mereka pada sebahagian tempat dan tidak sebahagian tempat yang lain.

Jangan hanya jadikan mereka tempat kita meminta mengisi program masjid dan surau, tahlil arwah dan solat jenazah, tahniq anak cucu.

Jika lidah penerus Nabi saw itu hanya sekadar apa yang disebut tadi pasti Nabi saw itu hanya duduk di Makkah dan pasti tidak dikecam sehingga hendak dibunuh oleh musyrikin Makkah.

Rasulullah saw telah menunjukkan satu model islam dan tugasan pewaris Rasulullah saw 13 tahun berada di Makkah sehingga hijrahnya Rasulullah saw ke Yasrib dan tertegak sebuah negara Islam yg pertama Madinatul Munawwarah selama 10 tahun.

Allah swt telah mengajar kita melalui sejarah yg berlaku kepada ummat-ummat terdahulu, dari ummat Nabi Allah Idris a.s, sepeninggalan Nabi Musa a.s selama 40 hari menemui Allah swt di jabal Tursina sehingga masyarakat jahiliah yang hidup setelah ketiadaan Nabi Allah Isa a.s sehingga kebangkitan Rasulullah saw.

Tidak kebersamaan ummat mereka mengimani para Rasul-Rasul sehinggalah mereka yang hidup didalam jarak masa yang tidak mempunyai Nabi dan Rasul. Semuanya ini menampilkan gambaran ummat yang rosak hanyut seperti layang-layang putus tali dan bahtera yang tiada nakhodanya ditengah lautan yang penuh badai besar.

Hari ini Rasulullah saw tidak bersama kita lagi, yang tinggal hanya pewarisnya yang membawa alQuran dan Sunnah Beliau.

Semua kita mempunyai henset. Pentingnya henset bagi kita sehingga kemana sekalipun kita akan membawanya. Sayang kita kepada isteri dan anak-anak pun ada ketika mereka kita tinggalkan.

Menggelupur kita bila bateri henset habis. Segera kita mencari pengecas. Mutakhir ni pula kita menjenjeng satu benda yang namanya POWERBANK.

Mereka inilah seperti powerbank, pengecas agar iman dan aqidah kita sentiasa hidup bersinar sehingga kehidupan kita terarah, amanah Allah swt dapat ditunaikan.

WAllahu a'alam


abujihad
27 Nov 2015
MADU, Machang Kelantan